Nasihat tinggalkan Lubnan

BEBERAPA negara menasihatkan rakyat masing-masing untuk meninggalkan Lubnan atau menangguhkan perjalanan ke Lubnan ketika ketegangan semakin memuncak di rantau itu berikutan serangan berterusan Israel.

India, Itali, Belgium, Malaysia, Mesir, Rusia dan Britain turut mengeluarkan arahan itu.

Kedutaan India di Beirut dalam satu kenyataan berkata, kira-kira 4,000 warganegara India tinggal di Lubnan dan kebanyakan mereka bekerja dalam sektor pembinaan, syarikat dan pertanian.

Manakala Timbalan Perdana Menteri Itali, Antonio Tajani, berkata, kira-kira 300 warga Itali berada di Lubnan untuk bekerja, manakala 3,000 memiliki dua kerakyatan.

Tajani berkata, 1,000 tentera Itali adalah sebahagian daripada misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan dan usaha sedang dibuat untuk memastikan keselamatan mereka.

Kementerian Luar Belgium juga menggesa rakyatnya meninggalkan Lubnan “secepat mungkin.” sambil memberi amaran bahawa keadaan keselamatan boleh bertambah buruk.

Dianggarkan 1,800 warga Belgium dipercayai menetap di Lubnan.

Kementerian Luar Mesir dalam satu kenyataan juga menasihatkan rakyatnya untuk mengelakkan perjalanan ke Lubnan, susulan serangan tentera Israel.

Dalam kenyataan, Mesir menggesa warganegaranya yang kini berada di Lubnan supaya berhati-hati, mengelakkan zon konflik, mengikut arahan pihak berkuasa tempatan dan terus berhubung dengan Kedutaan Mesir di Beirut.

Kelmarin, EgyptAir berkata, ia menangguhkan penerbangan dari Kaherah ke Beirut sehingga keadaan stabil di Lubnan.

Russia juga menggesa rakyatnya di Lubnan supaya meninggalkan negara itu di mana pihak Kedutaan Russia dan misi diplomatik lain sedang berusaha untuk memaklumkan kira-kira 3,000 warga Rusia yang tinggal di Lubnan mengenai amaran dan saranan yang dikeluarkan.

Perdana Menteri Britain, Keir Starmer turut menggesa rakyat Britain meninggalkan Lubnan melalui laluan komersial yang masih ada tanpa bergantung kepada kemungkinan pemindahan.

(laporan Harian Metro)

Nnn

Related posts

Leave a Comment