3,175 kes baharu di Malaysia

PUTRAJAYA 11 Jan. – Sebanyak 3,175 lagi kes positif baharu Covid-19 dikesan hari ini,  angka yang meningkat berbanding 2,641 yang direkodkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan 2,792,035 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata 2,903 kes membabitkan penularan tempatan iaitu 2,745 warganegara atau 94.6 peratus dan 158 bukan warganegara (5.4 peratus).

Manakala 272 kes import pula terdiri daripada 224 rakyat tempatan dan 48 warga asing.

“Daripada 3,175 kes harian yang dilaporkan pada hari ini sebanyak 60 kes (1.9 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 3,115 kes atau 98.1 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

“Kementerian Kesihatan (KKM) juga melaporkan sebanyak 229 kes yang kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 99 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, KKM turut mengesan sembilan kluster jangkitan baharu, menjadikan kini sebanyak 6,176 kluster Covid-19 dikesan di negara ini dengan sudah ditamatkan dan 178 masih aktif.

Selain itu, sebanyak 2,977 kes sembuh direkodkan hari ini, menyumbang kepada sejumlah 2,720,399 kes kumulatif atau 97.4 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan setakat ini.

Dr Noor Hisham berkata, tiada kes positif baharu dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir sama ada yang berada di kediaman masing-masing atau di 38 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Johor, Pahang dan Melaka.

Bagaimanapun, beliau berkata, KKM mengesan lapan kes penyakit berjangkit dalam kalangan mangsa banjir, hari ini, iaitu empat kes Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI) dan masing-masing dua kes penyakit kulit dan Acute Gastroenteritis (AGE).

Related posts

Leave a Comment