TEHERAN – Iran mengumumkan penutupan Selat Hormuz kepada trafik kapal, selepas mendakwa Amerika Syarikat (AS) dan Israel melanggar perjanjian gencatan senjata sambil memberi amaran bahawa tindakan lanjut akan diambil jika pencerobohan berterusan.
Menurut kenyataan yang disiarkan media Iran, langkah itu disifatkan sebagai tindak balas awal terhadap pelanggaran komitmen perjanjian gencatan senjata dilaporkan telah berkuat kuasa.
Pengawal Revolusi Iran, IRGC, turut memberi amaran kepada kapal supaya tidak menghampiri laluan perairan strategik itu atas faktor keselamatan.
Langkah itu menyusul ketika Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) JD Vance membayangkan pada Sabtu bahawa rundingan peringkat tinggi dengan Iran boleh diadakan seawal-awalnya pada Ahad (21 Jun).
Media terdahulu melaporkan sekurang-kurangnya lima terkorban dalam serangan udara terbaharu oleh tentera Israel di selatan Lubnan pada awal pagi Sabtu.
Menurut Agensi Berita Nasional (NNA) Lubnan, jet pejuang Israel menyasarkan beberapa kawasan termasuk pekan Upper Nabatiyeh, Nmeiriyeh, Choukin, Habboosh, Kfarjouz, Arabsalim, Zibdin, Sajd, Mahmoudiyeh dan Deir Zahrani.
Tiga mangsa disahkan terkorban dalam serangan di Pekan Arabsalim, manakala seorang lagi maut dalam serangan di Deir Zahrani.
Sementara itu, satu lagi serangan dron yang menyasarkan sebuah motosikal di pintu masuk pekan Doueir turut mengorbankan seorang mangsa.
Dalam perkembangan sama, artileri Israel dilaporkan membedil kawasan sekitar pusat bandar Nabatiyeh pada awal pagi Sabtu.
Nnnn
