Hampir 5,000 kes di Singapura

SINGAPURA 5 Mei – Jumlah kes harian Covid-19 di Singapura hampir mencecah 5,000 apabila 4,733 kes baharu direkodkan hari ini yang meliputi 4,475‬ jangkitan tempatan dan 258‬‬ kes import.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (MoH), dengan perkembangan ini jumlah keseluruhan kes setakat pukul 12 tengah hari ini adalah 1,208,917.

Sementara itu, sebanyak 4,372 kes baharu  Protokol 2 direkodkan iaitu pesakit yang sihat tetapi diuji positif ART atau dinilai oleh doktor sebagai mengalami gejala ringan dan berisiko rendah.

Daripada jumlah kes itu, sebanyak 4,137 adalah jangkitan tempatan dan 235 kes import.

Sebanyak 361‬ kes disahkan menerusi ujian PCR di mana 338 adalah jangkitan tempatan manakala 23 adalah kes import.

Dalam tempoh yang sama, sebanyak empat kematian direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan 1,344

Menurut MoH, sebanyak 231 pesakit masih dirawat di hospital, naik berbanding 253 semalam di mana 18 memerlukan bantuan oksigen di wad biasa, enam kes dipantau rapi di ICU sementara 1,423 pesakit dibenarkan keluar hospital.

Mengenai vaksinasi, setakat semalam, 92 peratus penduduk Singapura yang layak sudah lengkap divaksin di bawah program vaksinasi nasional.

Sementara itu, Singapura menerima bekalan pertama vaksin Covid-19 Novavax yang dikenali Nuvaxovid semalam dan akan ditawarkan kepada orang ramai pada hujung bulan ini.

Pada Februari, Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) Covid-19 menerima saranan jawatankuasa pakar MoH mengenai vaksinasi Covid-19 untuk menyenaraikan vaksin Nuvaxovid dalam program vaksinasi kebangsaan.

Vaksin tersebut adalah untuk individu yang berumur 18 tahun dan ke atas dan boleh digunakan sebagai dua siri asas vaksinasi Covid-19 dan dos penggalak.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata dalam catatan Facebooknya, berkata: “Jika anda masih belum divaksin atau diberi dos penggalak, ini adalah alternatif yang baik selain vaksin mRNA untuk dilindungi daripada Covid-19. Dapatkan vaksin dan dos penggalak secepat mungkin.”

Nuvaxovid adalah vaksin Covid-19 keempat yang disediakan dalam program vaksinasi negara Singapura, selepas Pfizer-BioNTech atau Comirnaty, Moderna dan Sinovac-CoronaVac.

Related posts

Leave a Comment