KUALA LUMPUR 17 Sept. – Peruntukan kepada Ahli-Ahli Parlimen pembangkang tidak perlu dibuat menerusi apa-apa perjanjian atau MoU yang mempunyai niat tersirat untuk mengekang kebebasan Ahli-Ahli Parlimen menyuarakan hasrat pengundi yang memilih mereka ke Dewan Rakyat.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berkata, tidak pernah dalam sejarah negara, Kerajaan menetapkan perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dituturkan oleh Ahli-Ahli Parlimen di luar ketetapan yang terkandung di dalam Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) telah mengambil ketetapan untuk menolak deraf MoU antara Kerajaan Persekutuan dan PN itu setelah meneliti keseluruhan kandungan deraf tersebut secara terperinci.
Muhyiddin menarik perhatian MoU itu yang turut mengandungi satu bab khusus mengenai isu bangsa, agama dan Raja-Raja di mana Ahli-Ahli Parlimen PN dilarang untuk bersuara mengenainya.
“Menyentuh isu-isu ini dianggap sebagai menyebarkan kebencian. Ini tidak betul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, negara ini dibina di atas persefahaman antara kaum atau Kontrak Sosial yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan yang mempunyai peruntukan-peruntukan khusus mengenai hak-hak kaum, agama Islam dan Raja-Raja Melayu.
“Kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta hak-hak yang sah untuk kaum-kaum lain (Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan), Islam sebagai Agama Persekutuan (Perkara 3), Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan (Perkara 152).
Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan pewujudan Majlis Raja-Raja (Perkara 32 dan 38) dan kebebasan setiap individu untuk mengamalkan agama masing-masing secara aman dan harmoni (Perkara 11) adalah perkara-perkara asas pembentukan Malaysia yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.
Apa hak Kerajaan PH-BN untuk menghalang Ahli-Ahli Parlimen PN daripada memperjuangkan perkara-perkara yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan menerusi suara mereka di Dewan Rakyat?,” katanya.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu bertanya adakah Kerajaan PH-BN ingin memadam sejarah pembentukan negara Malaysia yang merdeka, meruntuhkan teras pembinaan negara bangsa yang aman dan harmoni, menafikan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak yang sah untuk kaum-kaum lain dan menulis semula perlembagaan negara secara halus menerusi MoU ini?
Beliau mendakwa, MoU itu juga membawa masuk elemen-elemen yang bertentangan dengan nilai hidup masyarakat Asia yang kuat berpegang dengan nilai moral dan agama.
Misalnya, MoU ini menghalang Ahli-Ahli Parlimen PN membuat kenyataan “yang mendiskriminasi mana-mana pihak sama ada atas dasar agama, kaum…atau apa-apa faktor identiti yang lain termasuklah kumpulan LGBT.
“Adakah ini bermakna sekiranya Ahli-Ahli Parlimen PN bersetuju dengan deraf MoU ini, maka mereka tidak boleh menentang sebarang dasar atau undang-undang yang mungkin akan digubal oleh Kerajaan PH-BN untuk membenarkan perlakuan LGBT pada masa hadapan?
“Bagi saya MoU ini adalah tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan nilai murni yang menjadi pegangan rakyat Malaysia,” katanya.
Oleh itu, Ia mesti ditolak bukan sahaja oleh PN malah oleh seluruh rakyat Malaysia yang cintakan negara dan memahami maksud sebenar perpaduan dan keharmonian dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama.
“Peruntukan kepada Ahli-Ahli Parlimen pembangkang tidak perlu dibuat menerusi apa-apa perjanjian atau MoU. Ini adalah janji PH dalam manifesto PRU-15 dan Perdana Menteri sekarang adalah daripada parti PH.
Rasulullah S.A.W bersabda, “Barang siapa tidak menepati janji seorang Muslim, nescaya ia mendapat laknat Allah, malaikat, dan seluruh manusia. Tidak diterima darinya taubat dan tebusan.”,” kata Muhyiddin.
Nnnn
