KUALA LUMPUR 16 Sept. – Putra menyokong penuh keputusan Perikatan Nasional (PN) menolak deraf cadangab memorandum persefahaman (MoU) daripada Kerajaan Madani berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen PN.
Presidennya Dr Ibrahim Ali juga bersetuju dengan semua asas penolakan tersebut yang antaranya boleh menjejaskan peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai hak orang Melayu dan Bumiputera dan boleh menjejaskan keunggulan Islam serta nilai-nilai moral, budaya dan lain-lain amalan tradisional Malaysia.
“Alasan-alasan ini menunjukkan PN tegas dan terus mendukung serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi teras kepada jati diri atau identiti nasional Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ibrahim, penolakan tersebut amat tepat dan wajar kerana syarat-syarat yang dikenakan terhadap Ahli-ahli Parlimen PN tidak masuk akal, melampau dan gila.
“Ahli-ahli Parlimen PN akan hilang fungsi dan peranan sebagai Ahli Dewan Rakyat untuk menegur dan mengkritik serta semak dan imbang selaras dengan lafaz angkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat. Jika syarat-syarat yang ditetapkan dipersetujui, Ahli-ahli Parlimen PN dituduh makan gaji buta.
Sehubungan dengan pendirian tegas PN, Putra berharap PN akan menjelaskan agar asas penolakan tersebut secara konsisten dan jelas kepada orang Melayu dan Pribumi khususnya dan rakyat Malaysia,” katanya.
Ibrahim mendakwa, Pakatan Harapan (PH) seolah-olah mahu menggunakan MoU itu untuk mengancam kelangsungan Islam, Melayu dan Bumiputera yang dijamin serta dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Tidak masuk akal semua hendak disama-ratakan termasuk kedudukan Agama Islam dengan lain-lain agama. Apa erti MADANI?
PN juga perlu segera memberhentikan apa jua tindakan untuk terus berunding mengenai peruntukan tersebut dengan PH kerana deraf tersebut sangat menghina PN seolah-olah Ahli-ahli Parlimen PN tiada jati diri dan boleh dihina sesuka hati,” katanya.
Putra juga berpendapat, tiada faedahnya untuk PN dan seluruh rakyat yang menyokongnya untuk dipermainkan atau diperdayakan oleh puak hipokrit munafik yang pegangannya jelas mendokong fahaman liberalisme dan pluralisme yang pasti ke arah menghancurkan Islam, Melayu dan Bumiputera.
“PN, parti-parti politik yang sehaluan dengannya serta rakyat jelata perlu terus bersatu untuk menumbangkan PH secara demokrasi. Jangan biarkan PH serta pucuk pimpinannya mengancam kelangsungan dan masa depan kita, keselamatan kita dan kedaulatan Malaysia.
Jangan kita izinkan PH serta pimpinan tertingginya munculkan “iklim ketakutan” di negara kita,” katanya.
Ibrahim sebaliknya menggesa, PN dan lain-lain parti politik serta NGO yang sehaluan mewuiudkan penyatuan Islam, Melayu dan Bumiputera untuk melumpuhkan PH serta pimpinannya yang akan merosakan tiang seri negara dengan dasar sama rata yang bertentangan dengan perlembagaan.
“Yakinlah, penyatuan ummah dan perpaduan Melayu adalah untuk sama-sama berjuang menumpaskan puak hipokrit munafik ini, khususnya menerusi pilihan raya, adalah perjuangan yang terbaik untuk menjaga keselamatan negara , Islam, Melayu, Bumiputera serta seluruh rakyat jelata Malaysia,” kata Ibrahim.
Nnnn
