GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan kelulusan vaksin MVA-BN, yang dibangunkan oleh Bavarian Nordic A/S, sebagai vaksin mpox pertama yang dimasukkan ke dalam senarai prakelayakan.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, kelulusan itu merupakan langkah penting dalam perjuangan WHO memerangi penyakit ini, baik dalam konteks wabak semasa di Afrika dan pada masa hadapan.
Kelulusan prakelayakan ini dijangka meningkatkan akses kepada vaksin di kawasan yang menghadapi wabak mendesak, terutamanya di Afrika, membantu usaha untuk mengurangkan penularan dan mengawal penyebaran penyakit itu.
Tedros menekankan keperluan untuk meningkatkan perolehan dan pengedaran vaksin bagi memastikan akses yang saksama bagi mereka yang paling berisiko.
Vaksin itu diberikan dalam dua dos, selang empat minggu, untuk orang dewasa berumur 18 tahun ke atas.
Dalam pada itu, Penolong Ketua Pengarah WHO Yukiko Nakatani berkata, keputusan prakelayakan itu akan mempercepatkan perolehan oleh agensi antarabangsa dan mempercepatkan kelulusan kawal selia negara.
Data semasa menunjukkan bahawa vaksin itu 76 peratus berkesan selepas satu dos dan 82 peratus berkesan selepas dua dos.
Nnn
