KUALA LUMPUR 14 Sept. – Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) akan mengambil tindakan undang-undang berhubung dakwaan dan tohmahan pihak berkenaan yang tidak berasas dan dianggap jijik terhadap organisasi itu.
Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasiruddin Mohd Ali, berkata, GISBH akan melantik peguam bagi memulakan tindakan perundangan ke atas pihak yang didakwa melemparkan tohmahan itu.
“Kita akan lawan kerana (tohmahan) amat dahsyat. Ini termasuk dakwaan minum ‘air berkat’ yang dikaitkan dengan minum air janggut, air bulu, kan menghina namanya. Tunjuklah bukti…ni semua tuduhan,” katanya.
Menerusi rakaman video yang dimuat naik di akaun media sosialnya pagi ini, beliau berkata akibat tohmahan itu ada pihak yang memulangkan semula barangan halal yang dikeluarkan GISBH malahan ada akaun bank syarikat disita.
Beliau bagaimanapun, mengakui pihaknya ada melakukan kesalahan dan wujud kes liwat dalam kumpulan itu seperti yang disiasat oleh polis tetapi perlakuan jijik itu bukan melibatkan semua ahli.
“Saya sangat sedih, saya orang Islam, tuan-tuan pun orang Islam. Pecah kita sesama Islam, kemudian anak-anak ditangkap sebagainya. Saya bukan mahu menyalahkan undang-undang, memang kami ada salah dari segi undang-undang tetapi tak boleh nasihat ke? Cuba bincang dulu.
“Ini tangkap lebih 400 (kanak-kanak dan remaja (mendiami rumah amal dikaitkan dengan GISBH), mereka tak tahu cerita. Kemudian dituduh liwat dan sebagainya.
Memang liwat itu ada satu, dua (kes), tetapi kenapa dirangkumkan semuanya?” katanya yang sedih dan amat kesal dengan apa yang berlaku sekarang.
Akibatnya, kata beliau, GISBH ditohmah dan difitnah dengan jijik hingga keadaan menjadi huru-hara, yang diumpamakan melebihi keadaan di Gaza.
Media sebelum ini melaporkan kanak-kanak di rumah amal dikaitkan dengan GISBH diasingkan daripada ibu bapa mereka sejak usia dua tahun.
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, dilapor berkata, risikan mendapati keseluruhan kanak-kanak itu menjalani proses tumbesaran sepenuhnya dalam rumah amal dikaitkan dengan GISBH.
Selain itu, 13 kanak-kanak yang menjadi penghuni rumah perlindungan yang diserbu PDRM, disyaki diliwat.
Melalui Op Global antara pukul 6 hingga 11 pagi kelmarin, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor (18) dan dua di Negeri Sembilan.
Nasiruddin juga menafikan dakwaan GISBH menanamkan doktrin mengenai ajaran Islam yang menyeleweng terhadap kanak-kanak dan remaja yang mendiami rumah amal dikaitkan dengan organisasi itu.
“Kenapa semudah ini? Perkara yang mudah (untuk) dirunding, kami tak menyakitkan orang lain dan sebagainya. Sedih sangatlah, cara hidup kami, ada yang kata doktrin. Doktrin ini adalah perbuatan yang mahu merosakkan kanak-kanak.
“Kami sudah buat 30 tahun dan buka (cawangan) di seluruh dunia, hampir 20 cawangan dan tiada masalah. Kami berhubung dengan duta dan tolong pihak kedutaan.
“Kami ajar budak solat, membesarkan ibadat solat berjemaah. Ini tuduh macam-macam, kenapa semudah itu dikeluarkan dalam media massa yang dilihat (masyarakat) pelbagai peringkat,” katanya.
Nnn
