PUTRAJAYA 14 Sept. – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengambil beberapa tindakan berhubung Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH) sejak Februari 2019, kata Ketua Pengarahnya, Hakimah Mohd Yusoff.
Terkini pada Februari 2024, pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Nasiruddin Mohd Ali diadakan bagi mengkaji lebih mendalam isu-isu akidah, syariah dan tasawuf dalam organisasi itu.
Beliau berkata, selain 12 mesyuarat, tindakan diambil susulan isu GISBH turut meliputi bengkel, pasukan petugas khas dan program kenegaraan yang mana ia turut membabitkan agensi keselamatan negara antaranya Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam satu kenyataan, beliau berkata Jakim konsisten mengadakan dialog, program dan kajian mendalam mengenai isu ini dan tidak berkompromi dengan isu-isu yang melibatkan akidah umat Islam.
Kenyataan itu sekali gus menafikan dakwaan pihak berkuasa tidak mengambil tindakan berhubung isu GISBH.
Kelmarin, Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin melalui hantaran video merujuk siri kuliah mingguan diadakan di Masjid Alwi di Kangar berkata isu membabitkan GISBH sudah dibentangkan kepada pelbagai pihak termasuk Jakim dan pihak penguat kuasa, namun tiada tindakan diambil.
Mengulas lanjut, Hakimah berkata pertemuan tertutup dengan pihak GISBH yang diadakan pada September 2019 membabitkan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, Jabatan Peguam Negara, Panel Pakar Akidah Jakim serta Panel Pakar Tasawuf Jakim.
Pertemuan ini, katanya membincangkan isu berkaitan GISBH melalui sesi dialog dengan cadangan penyelesaian yang bersesuaian.
Katanya, pada Julai 2022, Mesyuarat Khas bersama Agensi Keselamatan Negara termasuk MKN, PDRM dan KDN diadakan bagi menyelaras isu berkaitan disusuli beberapa perbincangan pada Ogos lalu, selain Program Kem Kenegaraan Remaja Pembela Ummah (RPU) GISBH kali ke-2 serta dialog dengan pihak GISBH atas dakwaan penyelewengan akidah yang masih diamalkan, seterusnya perbincangan bersama NADI MAIS dan Jabatan Mufti Negeri Selangor.
Pada Februari 2023, Mesyuarat Khas Panel Pakar Akidah mengenai isu GISBH diadakan melibatkan NADI, Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial E2 Cawangan Khas PDRM serta pertemuan dengan bekas pengikut GISBH, di samping program kenegaraan kepada RPU diteruskan anjuran PDRM dan iLead, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Oktober 2023.
Hakimah berkata, hasil kajian dan dapatan berkenaan isu GISB susulan tindakan diambil itu akan dibentangkan dalam Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Kebangsaan (MKI) dan mesyuarat Kabinet, seterusnya memohon perkenan Majlis Raja-Raja (MRR) sebelum difatwakan di bawah bidang kuasa negeri bagi tujuan penguatkuasaan.
Katanya, Jakim adalah agensi Persekutuan bagi pengurusan hal ehwal Islam, bertanggungjawab dalam penyelarasan dan penyeragaman perundangan serta pandangan hukum bagi sesuatu isu dalam kalangan umat Islam.
“Selaras peraturan, Jakim sebagai sekretariat yang melaksanakan fungsi MKI bagi menyembah nasihat kepada MRR, apa-apa perkara berkenaan perundangan Islam, pengurusan hal ehwal Islam dan pendidikan agama Islam.
“Ia bagi maksud menambah baik, menyelaras dan menggalakkan keseragaman undang-undang atas kepentingan negara,” katanya.
Nnnn
