Pensijilan halal ditentukan MRR

SHANGHAI (China) 12 Sept. – Sebarang keputusan untuk melaksanakan dasar bagi mewajibkan penggunaan sijil halal di premis makanan termasuk yang diusahakan peniaga bukan Islam hanya akan ditentukan oleh Majlis Raja-Raja (MRR).

Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata soal hal ehwal agama termasuk isu halal ini adalah kuasa MRR dan terserah kepada majlis itu memutuskannya selepas kajian dilakukan sama ada wajib atau tidak.

Justeru, Pengerusi Majlis Halal Negara itu berkata, polemik persijilan halal ini seharusnya diredakan serta-merta dan semua pihak tidak perlu berasa tergugat, apatah lagi mewajibkan penggunaan sijil halal itu masih peringkat cadangan.

“Ia (cadangan mewajibkan penggunaan sijil halal) hanya cadangan kajian, bukan menjadi dasar (kerajaan). Saya tidak fikir mana-mana pihak berasa khuatir dengan cadangan kajian itu,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di akhir lawatannya ke China di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, Majlis Halal Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah mengambil tindakan untuk memendekkan tempoh kelulusan bagi permohonan sijil halal.

“Dulu prosesnya mengambil masa sembilan bulan, kemudian atas persefahaman Majlis Halal Negara dan Jakim, ia dipendekkan kepada 23 hari bekerja. Kini  dipendekkan lagi kepada 15 hari bekerja iaitu dari tarikh permohonan dikemukakan dengan syarat semua keperluan (bagi permohonannya) itu sudah dipenuhi,” katanya.

Beliau berkata, sebelum keputusan memendekkan tempoh permohonan itu dilaksana, Jakim juga sudah memanggil pemohon dan pemegang taruh lain untuk mengadakan sesi libat urus.

“Jakim akan memberi tahu apakah syarat yang perlu dipatuhi bagi mempermudahkan urusan ini dan tidak wajar menuduh Jakim melewatkannya sedangkan syarat itu tidak dipenuhi biarpun permohonannya sudah disantuni dengan baik,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment