Kejar ‘status’ Cyberjaya abai peniaga kecil?

SEPANG 12 Sept. – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Bahagian Sepang memohon Majlis Perbandaran Sepang (MPS) mengeluarkan permit sementara kepada peniaga-peniaga tempatan untuk menjalankan aktiviti perniagaan secara kecil-kecilan di pinggir jalan sekitar Cyberjaya.

Ahli Dewan Tertinggi Putra Malaysia, Mohamed Shahrin Ismail berkata, langkah itu susulan peniaga kecil yang melibatkan kaum Melayu, Cina dan India sering didatangi pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menghalau, menyaman dan menyita barang perniagaan mereka.

Menurut Mohamed Shahrin, peniaga-peniaga itu sudah sering kali ke pejabat MPS untuk mendapatkan semula barang yang disita serta mengemukakan permohonan permit untuk berniaga di situ, tetapi belum ada apa-apa keputusan.

“Maklum balas pegawai menyatakan tiada permit atau lesen dikeluarkan oleh PBT bagi kawasan berkenaan yang berada dalam perancangan bandar dan mereka (PBT) akan memastikan Cyberjaya kosong penjaja kecil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Putra Selangor menyifatkan maklum balas PBT itu amat menjengkelkan dan mendakwa PBT mendiskriminasi peniaga kecil terutama penduduk tetap di situ serta menafikan hak mereka mencari rezeki atau sumber pendapatan tambahan untuk menampung kos sara hidup?

Menurut Mohamed Shahrin, ini berbeza dengan bandar raya seperti Putrajaya, Kuala Lumpur, Bandar Tun Razak, Bangi dan beberapa lagi kawasan elit, PBT kawasan berkenaan menyediakan kiosk serbaguna atau mengeluarkan permit sementara bagi memboleh peniaga kecil menjalankan perniagaan.

Beliau percaya dengan kerjasama pelbagai pihak menangani isu ini, ia akan memberi keuntungan bersama di samping menjana ekonomi di kawasan tersebut serta boleh menjadi tumpuan pengunjung dan pelancong sama ada dari dalam atau luar negara.

Justeru, Putra Sepang menyarankan PBT Sepang mencontohi PBT lain dalam menyediakan kiosk yang bersesuaian di kawasan yang boleh menarik perhatian pengunjung dan dalam tempoh itu mengeluarkan permit sementara bagi membolehkan penjaja berniaga dengan tenang.

Katanya, dengan membenarkan peniaga kecil-kecilan berniaga, ia juga secara tidak langsung membantu orang ramai termasuk golongan miskin bandar dan pelajar- pelajar yang ramai di kawsan itu berbelanja mengikut kemampuan mereka.

“Jangan disebabkan terlalu gelojoh untuk mengejar status bandar raya, kita mengenepikan hak mereka untuk berbelanja mengikut kemampuan disebabkan ketiadaan peniaga kecil,” katanya.

Beliau juga berharap wakil rakyat kawasan berkenaan dapat memberi perhatian terhadap masalah tersebut.

Untuk rekod Parlimen Sepang diwakili okeh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Aiman Athirah Sabu manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil adalah Jamil Salleh.

Nnn

Related posts

Leave a Comment