PUTRAJAYA 11 Sept. – Orang ramai yang berminat menyertai acara amal, Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2024 masih boleh membuat pendaftaran yang dilanjutkan sehingga 15 September ini.
Menurut kenyataan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM), keputusan itu dibuat berikutan masih terdapat permintaan amat menggalakkan daripada orang ramai untuk mendaftar meskipun pendaftaran LKM 2024 sepatutnya ditutup Sabtu lalu.
Mereka yang ingin menyertai larian itu boleh berbuat demikian melalui laman https://www.ticket2u.com.my/event/36349/larian-keluarga-malaysia-2024 sebelum 15 September ini.
“Cabutan bertuah bernilai lebih RM70,000 menanti peserta LKM 2024 seperti sebuah Perodua Axia, telefon bimbit, pakej percutian, televisyen, basikal, peralatan elektrik, hamper serta pelbagai hadiah menarik lain,” menurut YKM.
LKM 2024 yang akan berlangsung di Cyberjaya adalah larian amal dianjurkan bersama Ten Senses (M) Sdn Bhd bagi mengumpul dana membantu anak-anak yatim dan yatim piatu yang hilang tempat bergantung akibat Pandemik Covid-19.
Larian akan turut disertai bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi YKM, Ismail Sabri Yaakob bersama bekas Ahli Parlimen Rembau yang juga duta LKM, Khairy Jamaluddin.
Selain itu, legenda sukan seperti pemenang pingat perak sukan Olimpik 2016, Goh Liu Ying; jaguh bina badan Asia, Malek Nor serta bekas pemain bola sepak kebangsaan, Zainal Abidin Hassan dan Santokh Singh.
Yang akan turut serta, bekas jaguh badminton tanah air, Roslin Hashim serta bekas atlet kebangsaan, Marina Chin dan Zaiton Othman dengan Yayasan Kebajikan Atlet Negara (YAKEB) sebagai rakan strategik LKM 2024.
Maklumat lanjut mengenai YKM boleh didapati di laman https://yayasankeluargamalaysia.org.my atau hubungi talian 03-22027493
YKM memerlukan dana sekurang-kurangnya RM5 juta setahun untuk memastikan kira-kira 1,000 anak yatim di bawah kendaliannya mendapat pendidikan yang sempurna dan memastikan kebajikan mereka terbela.
Nnn
