Gencatan senjata Israel-Palestin masih samar

GAZA: Selepas 40,939 penduduk terbunuh dan perang Israel-Palestin masuk bulan ke-12 semalam, belum ada tanda gencatan senjata bagi menamatkan perang seterusnya menghentikan penderitaan penduduk.

Masing-masing berpegang kuat pada pendirian berhubung  gencatan senjata yang dicadangkan yang turut membabitkan pertukaran tahanan Palestin di penjara Israel dengan tebusan ditahan Hamas.

Sejak perang meletus 7 Oktober tahun lalu, Hamas menuntut pengunduran penuh tentera rejim Zionis, namun Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berdegil dengan menegaskan tenteranya mesti kekal di sepanjang sempadan Gaza-Mesir.

Amerika Syarikat (AS), Qatar dan Mesir berusaha menjadi pengantara untuk mencapai gencatan senjatan dalam perang yang kini sudah membunuh sekurang-kurangnya 40,939 penduduk palestin.

Menurut pejabat hak asasi manusia Pertubunan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kebanyakan yang terkorban adalah wanita dan kanak-kanak.

Selain itu, terdapat 251 tebusan didakwa ditahan oleh kumpulan pejuang Palestin sejak peperangan meletus, dengan 97 orang masih berada di Gaza termasuk 33 mangsa yang didakwa tentera Israel telah mati.

Beberapa tebusan dibebaskan semasa gencatan senjata selama seminggu pada November tahun lalu.

Pengumuman Israel Ahad lalu berhubung penemuan mayat enam tebusan termasuk seorang warganegara AS-Israel mendorong ribuan penunjuk perasaan berarak pada Sabtu di Tel Aviv dan beberapa bandar Israel lain, termasuk Baitulmaqdis dan Haifa, bagi menuntut kerajaan memastikan pembebasan tebusan.

Selain itu, tekanan masyarakat antarabangsa untuk menamatkan perang Israel-Palestin semakin meningkat susulan kematian aktivis Turkiye-AS, Aysenur Ezgi Eygi di Tebing Barat yang diceroboh Jumaat lalu, akibat ditembak.

Kejadian berlaku ketika aktivis berkenaan menyertai demonstrasi menentang penempatan Israel di wilayah Palestin yang diceroboh rejim Zionis.

Keluarga Ezgi Eygi menuntut siasatan penuh dilakukan dengan mengatakan hidupnya diambil secara tidak perlu, tidak sah dan diperlakukan ganas oleh tentera Israel.

Menurut pejabat hak asasi manusia PBB, tentera Israel membunuh Ezgi Eygi, 26, dengan tembakan di kepala.

Turkiye pula mendedahkan yang Ezgi Eygi dibunuh oleh tentera Israel, sementara AS menganggap kematiannya sebagai tragis, sambil mendesak Israel melancarkan siasatan.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, bertindak mengecam Israel sebagai ‘pembunuh kejam’, sementara mendesak negara Islam membentuk pakatan menentang Israel.

“Ia adalah kewajipan Islam bagi kita untuk melawan keganasan Israel. Ia adalah kewajipan agama,” katanya.

Sebagai maklum balas terhadap kenyataan Erdogan, Menteri Luar Israel, Israel Katz, berkata tindakan Presiden Turkiye itu terus menjerumuskan rakyat negara itu dalam kancah kebencian dan keganasan demi rakan dalam Hamas.

Kematian Ezgi Eygi berlaku pada hari sama ketika tentera Israel mengundur diri dari pencerobohan berdarah selama 10 hari di Jenin dekat Tebing Barat.

Nnn

Related posts

Leave a Comment