LOS ANGELES – Anak lelaki Joe Biden, Hunter, 54 mengaku bersalah atas sembilan pertuduhan mengelak cukai, berjumlah AS$1.4 juta sejak sedekad lalu wang yang menurut pendakwa raya, dibelanjakannya untuk hidup mewah, melanggan pekerja seks dan menagih dadah.
Pengakuan itu dilakukan pada hari pemilihan juri bagi perbicaraan yang dijadualkan bermula, dan juga beberapa jam selepas Hunter menawarkan untuk mengaku bersalah dengan harapan dapat mencapai perjanjian yang berkemungkinan membolehkannya tidak dihukum penjara.
Bagaimanapun, tiada perjanjian dicapai dan Hunter mengaku bersalah di mahkamah terbuka serta boleh dihukum penjara hingga 17 tahun dan denda lebih AS$1 juta.
Hakim Daerah AS, Mark Scarsi, menetapkan tarikh 16 Disember depan untuk hukuman.
Sekiranya perbicaraan dijalankan, ia dijangka menyorot semula butiran negatif mengenai kehidupan defendan dan keluarganya – termasuk Presiden – yang sudah lama didakwa ‘terkeluar daripada landasan.’
“Saya tidak akan mengheret keluarga saya kepada lebih banyak lagi kesakitan dan pencerobohan privasi serta menanggung malu yang tidak perlu,” kata Hunter dalam satu kenyataan seperti dilaporkan media AS.
Hunter sudah menghabiskan banyak masa sepanjang tahun ini di mahkamah, termasuk disabitkan kesalahan di Delaware kerana berbohong mengenai tabiatnya menagih dadah ketika membeli pistol – yang merupakan satu perbuatan jenayah.
Bagaimanapun, beliau belum dijatuhkan hukuman bagi kesalahan itu, dan boleh dipenjarakan hingga 25 tahun.
Joe Biden mempunyai kuasa untuk mengampunkan anaknya itu, namun beliau pernah menegaskan tidak akan berbuat sedemikian dan pendirian itu masih tidak berubah.
Nnn
