Filipina sekat pelawat dari 32 negara

MANILA 15 Jan. – Filipina hari ini melanjutkan sekatan ke atas ketibaan para pelawat daripada 32 negara atau lokasi bagi membendung penularan varian baru Covid-19 yang diberi nama B117, yang pertama kali dikesan di Britain.

Langkah-langkah sekatan sedia ada, yang sepatutnya berakhir hari ini, dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 31 Januari.

Jurucakap presiden Harry Roque dalam satu kenyataan media berkata,

Pasukan Bertindak Silang Agensi (IATF) meluluskan saranan untuk melanjutkan sekatan tersebut.

Negara terlibat adalah United Kingdom, Denmark, Ireland, Jepun, Australia, Israel, Netherlands, China, Hong Kong, Switzerland, Perancis, Jerman, Iceland, Itali, Lebanon, Singapura, Sweden, Korea Selatan dan Afrika Selatan.

Kanada, Sepanyol, Amerika Syarikat (AS), Portugal, India, Finland, Norway, Jordan, Brazil, Austria, Pakistan, Jamaica, Luxembourg dan Oman.

Filipina melaporkan kes pertama Covid-19 dengan jangkitan varian baru dari Britain itu pada 13 Januari, melibatkan seorang lelaki Filipina yang tiba dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada 7 Januari.

Lelaki itu menjalani ujian swab dan dikuarantin di sebuah hotel sebaik sahaja tiba di Filipina. UAE bagaimanapun tidak dalam senarai 32 negara yang disekat.

Pada Disember lalu, negara itu menyekat ketibaan pelawat, termasuk warga Filipina sendiri, daripada 19 buah negara dan wilayah sehingga pertengahan Januari sebagai langkah membendung varian baru koronavirus itu.

Filipina juga mengumumkan hari ini bahawa protokol pengesanan kontak akan diperkukuh dan diperluaskan untuk merangkumi ‘kontak generasi ketiga” bagi kes-kes varian baru Covid-19.

Semua kontak rapat yang dikenal pasti akan dikuarantin selama 14 hari di kemudahan-kemudahan khas dan baki kontak daripada senarai penerbangan akan dinasihatkan tentang protokol kuarantin yang perlu dipatuhi.

Related posts

Leave a Comment