NEW YORK – “Apa sudah terjadi kepada kemanusiaan asas kita?’ Begitulah ungkapan Joyce Msuya, seorang pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) susulan perang berterusan yang semakin melarat di Gaza.
Pemangku Setiausaha Agung Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan, Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB, berkata operasi kemanusiaan terpaksa bergelut untuk menyalurkan bantuan.
Beliau berkata pihaknya tidak boleh membuat perancangan awal kerana berdepan kesukaran untuk mengetahui apa dan bila bekalan bantuan bakal diperoleh mahupun ke mana ia akan dapat dihantar.
“Orang awam kelaparan. Mereka kehausan. Mereka sakit. Mereka tidak mempunyai tempat tinggal. Mereka ditekan melebihi had sepatut ditanggung oleh mana-mana manusia,” katanya kepada Majlis Keselamatan PBB (UNSC), semalam.
Kenyataan beliau itu menyusul selepas PBB terpaksa menghentikan pergerakan bantuan dan petugas kemanusiaan di Gaza, Isnin lalu, berikutan arahan evakuasi terbaru dikeluarkan oleh Israel bagi kawasan Deir al-Balah yang menjadi hab pekerja agensi berkenaan.
Lebih 88 peratus wilayah Gaza tertakluk kepada arahan (Israel) untuk evakuasi pada satu ketika. Orang awam berada dalam keadaan perit yang tidak menentu dan juga tiada kepastian, dengan dipaksa berpindah ke kawasan hanya seluas 11 peratus daripada keseluruhan Semenanjung Gaza.
“Arahan evakuasi itu dilihat bertentangan dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya seperti dilaporkan media.
Serangan berterusan Israel sejak Oktober tahun lalu dilaporkan telah meragut sekurang-kurang 40,602 nyawa di Gaza, dengan kebanyakan mereka adalah kanak-kanak dan wanita.
“Apa yang kita saksikan sejak 11 bulan lalu… mengundang persoalan mengenai komitmen dunia terhadap ketetapan undang-undang antarabangsa yang dicipta untuk mencegah tragedi ini.
“Ia memaksa kita untuk bertanya: apa sudah terjadi kepada kemanusiaan asas kita?” katanya.
Beliau turut menggesa UNSC dan komuniti antarabangsa lebih meluas menggunakan pengaruh bagi menamatkan perang, pembebasan tebusan serta gencatan senjata yang berterusan di Gaza.
(Foto fb UN)
Nnn
