Maut akibat penyakit bawaan nyamuk

WASHINGTON – Seorang lelaki dewasa Amerika Syarikat (AS) dari bandar Hampstead, New Hampshire meninggal dunia selepas dijangkiti virus bawaan nyamuk yang jarang berlaku, ‘eastern equine encephalitis’ atau EEE.

Menurut Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (DHHS) New Hampshire, pesakit itu dimasukkan ke hospital dengan penyakit sistem saraf yang teruk dan kemudiannya meninggal dunia.

Jangkitan virus EEE manusia terakhir dilaporkan di New Hampshire adalah pada 2014, apabila DHHS mengenal pasti tiga jangkitan manusia, termasuk dua kematian.

Jangkitan dan kematian baharu itu berlaku ketika peningkatan kebimbangan dalam kalangan pegawai di seluruh New England mengenai peningkatan risiko EEE, ancaman yang dipercayai diburukkan lagi oleh perubahan iklim.

Massachusetts pada awal bulan ini mengumumkan kes manusia pertama EEE di negeri itu – seorang lelaki berusia 80-an – dan meminta orang ramai mematuhi perintah berkurung di luar rumah secara sukarela, menutup taman awam, dan memulakan semburan untuk mengawal jumlah nyamuk.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), gejala penyakit itu termasuklah demam, sakit kepala, muntah, cirit-birit, sawan, perubahan tingkah laku dan mengantuk.

Ia juga boleh menyebabkan penyakit neurologi yang teruk, seperti keradangan otak dan membran di sekitar saraf tunjang, yang dikenali sebagai ‘ensefalitis’ dan ‘meningitis’.

Kira-kira 30 peratus daripada mereka yang dijangkiti meninggal dunia manakala yang lain akan mengalami kesan fizikal atau mental yang berterusan.

Golongan yang berisiko lebih tinggi adalah mereka yang berusia di bawah 15 dan lebih 50 dan malah tiada vaksin atau rawatan tersedia setakat ini.

Related posts

Leave a Comment