Sanusi kecewa KXP tercicir dalam Belanjawan 2024

ALOR SETAR 13 Okt. – Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor kecewa apabila projek berimpak tinggi yang dirancang termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) tidak disebut dalam Belanjawan 2024.

Beliau berkata, kerajaan negeri sudah menyatakan bahawa apa yang diperlukan hanya kelulusan Kementerian Pengangkutan bukan pembiayaan kerana projek ini akan dibangunkan secara Inisiatif Kewangan Swasta (PFI).

“Projek KXP adalah keperluan masa hadapan negara dan akan menjadi ‘economic game changer’ yang terpenting.

“Kita harap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, akan menimbangkan semula cadangan ini,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Sebelum ini, media melaporkan Anwar dalam Dewan Rakyat memaklumkan Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai kemampuan kewangan membangunkan KXP, selain mendedahkan syarikat tempatan yang dipilih kerajaan negeri melaksanakan projek terbabit turut tidak berupaya berbuat demikian.

Muhammad Sanusi bagaimanapun dilaporkan berkata, sekurang-kurangnya 18 firma berminat membangunkan KXP sekiranya syarikat tempatan dipilih tidak berupaya melaksanakannya.

Beliau juga menyifatkan tindakan Anwar mendedahkan nama syarikat tempatan berkenaan di Dewan Rakyat Mac lalu sebagai tidak tepat.

Dalam pada itu, mengulas beberapa pengumuman Belanjawan 2024, Muhammad Sanusi berberterima kasih atas daya usaha kerajaan menaikkan kadar Skim Subsidi Harga Padi daripada RM360 kepada RM500 satu tan.

Kerajaan negeri turut menghargai langkah Kerajaan Persekutuan menaikkan harga lantai belian padi oleh pengilang daripada RM1,200 setan kepada RM1,300 yang diharapkan dapat memberi sedikit kelegaan kepada petani terutama di Kedah.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga mengalu-alukan pengumuman untuk Kerajaan Persekutuan memulakan projek tanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun, termasuk di Kota Sarang Semut, di sini.

Muhammad Sanusi juga berterima kasih atas cadangan pembangunan blok baharu pendidikan khas di SMK Kubang Rotan di Kuala Kedah, selain Program Transformasi Bas Henti Henti di Kota Setar.

Related posts

Leave a Comment