Satu kes strok haba dirujuk ke ICU

PUTRAJAYA 15 Mac –  Sebanyak 23 kes strok haba termasuk satu kes dirujuk ke unit rawatan rapi (ICU) dilaporkan di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) sejak awal tahun ini sehingga Isnin lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kes berkenaan dilaporkan di Kedah, Perak, Selangor, Sabah, Perlis dan Pahang manakala kes dirujuk ke ICU adalah di Langkawi.

“Ada satu kes masuk ke ICU sehingga memerlukan bantuan pernafasan tetapi ia dapat diselamatkan sebab dia datang awal,” katanya pada sidang media selepas majlis Ops Kebersihan Dan Keselamatan Makanan Bazar Ramadan 2024 di sini hari ini.

Dr Muhammad Radzi menasihatkan orang ramai untuk mengelakkan diri daripada terdedah secara terus dengan cahaya matahari kerana cuaca ketika ini panas.

“Apa yang penting sekarang ini mengenai strok haba adalah ia sesuatu yang kita dapat elakkan. Formulanya senang sahaja iaitu kita perlu mengelakkan terdedah kepada haba tersebut.

“Katakanlah kita terpaksa juga pergi, anda kena mengambil langkah sebaiknya seperti guna payung, pakai baju yang menutupi badan semuanya,” katanya.

Gelombang haba adalah satu tempoh suhu tinggi luar biasa yang melebihi suhu maksimum purata harian dengan keadaan cuaca yang agak panas dan di Malaysia, ia ditakrifkan sebagai suhu maksimum harian melebihi 37°C untuk 3 hari berturut-turut.

Nnn

Related posts

Leave a Comment