Visa PLS keluarga mangsa dilanjut sebulan

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Jabatan Imigresen melanjutkan visa Pas Lawatan Sosial (PLS) empat ahli keluarga mangsa kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, bermula hari ini.

Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Arvend Applasamy berkata, PLS dalam tempoh sebulan itu diberikan kepada suami, anak dan saudara mangsa.

“Saya mewakili Ahmad Zahid turut menyantuni keluarga mangsa hari ini, selain menyampaikan sumbangan dan memberi jaminan kerajaan akan memudahkan segala urusan mereka termasuk makan, minum serta kemudahan penginapan sepanjang berada di sini.

Keluarga mangsa ketika ditemui turut memaklumkan mereka bersedia menghadapi apa juga kemungkinan jika mangsa ditemui,” katanya kepada media di Masjid India, hari ini.

Katanya, kerajaan terus komited memberikan segala bantuan diperlukan keluarga mangsa termasuk sesi kaunseling oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata, keluarga mangsa turut berterima kasih kepada pasukan penyelamat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang bertungkus-lumus melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita terbabit.

Mangsa Vijayaletchumi, 48, berasal dari Andhra Pradesh, India, bersama keluarganya dijadualkan kembali ke negara asal pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun, mangsa secara tiba-tiba terjatuh dalam kejadian tanah jerlus ketika berjalan dari arah Flat Selangor Mansion menuju ke arah Wisma Yakin, pada kira-kira pukul 8.25 pagi, Jumaat lalu.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kejadian tanah jerlus lebih menumpukan kepada teknik ‘flushing’ iaitu menyekat aliran air di lurang kumbahan dan setelah air melimpah, sekatan akan dilepas untuk menghasilkan arus aliran air yang deras.

Teknik ini membabitkan kerjasama semua pihak terutama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Indah Water Konsortium (IWK) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pagi tadi, Unit Media Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, pihak IWK melakukan pemecahan serpihan sejauh 69 meter dalam usaha mengesan mangsa.

Operasi pemecahan serpihan itu dilakukan menggunakan ‘jetter’ bermula dari lokasi tanah jerlus hingga ke lurang kumbahan hilir.

Pemeriksaan juga dijalankan pihak JBPM di Loji Pantai Dalam, di sini.

Pihak IWK telah melaksanakan ‘flushing’ di lurang kumbahan lima mulai lewat malam tadi sehingga pukul 2 pagi tadi dan sehingga ini pihak IWK masih belum menemui sebarang petunjuk.

Dalam pada itu lokasi kejadian terus menjadi tumpuan orang ramai yang ingin melihat tempat berlakunya kejadian tanah jerlus.

Bagaimanapun pihak berkuasa membabitkan pegawai dan anggota Polis Daerah Dang Wangi dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, masih melakukan kawalan serta menutup laluan ke tempat berisiko di kawasan Masjid India ini.

((Foto DBKL)

Nnn

Related posts

Leave a Comment