KUALA LUMPUR 18 Ogos – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin akan dipanggil memberi keterangan Selasa ini berhubung ucapan beliau yang didakwa menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Nenggiri, baru-baru ini.
Memetik laporan BH, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata setakat ini pihaknya sudah menerima 29 laporan daripada pelbagai pihak berhubung perkara itu.
“Kita memanggil beliau untuk tampil beri keterangan pada 20 Ogos ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, Naib Presiden UMNO, Wan Rosdy Wan Ismail, menerusi hantaran di laman Facebook semalam, telah menzahirkan perasaan kecewa serta terkilan dengan kenyataan Muhyiddin dan memohon pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu.
“Sebagai mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin tidak sepatutnya mengheret institusi istana dalam kempen politiknya yang sempit semata-mata untuk meraih undi dan mengaburi rakyat tentang apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.
“Saya yakin dan percaya, rakyat juga telah mengetahui dan bersetuju bagaimana kewibawaan baginda Tuanku berjaya menghentikan kemelut politik negara daripada terus berpanjangan dengan menubuhkan Kerajaan Perpaduan, di mana Pas dan Bersatu menolak titah Tuanku ini,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial ucapan bekas Perdana Menteri itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
(Foto fb Muhyiddin)
