PBB sedia hantar makanan ke Darfur

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersedia menghantar bantuan makanan ke wilayah Darfur, Sudan yang dilanda perang selepas kerajaan memutuskan untuk membuka semula laluan sempadan penting Adre dengan Chad.

Program Makanan Dunia (WFP) PBB menyambut baik pembukaan sempadan dan menyeru agar semua laluan sempadan yang mungkin dibuka, dengan mengatakan bahawa mereka sedang berusaha dan ‘berlawan’ dengan masa untuk menyelamatkan nyawa di Sudan.

Sebelum ini, penutupan sempadan selama berbulan-bulan menjadi kebimbangan utama bagi organisasi kemanusiaan yang berusaha untuk membawa makanan dan bekalan ke Darfur ketika konflik terus berlanjutan.

Perang yang tercetus pada April 2023 antara tentera Sudan di bawah pemerintah de facto negara itu, Abdel Fattah al-Burhan, dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) yang diketuai oleh bekas timbalannya, Mohamed Hamdan Daglo, menyebabkan salah satu krisis kemanusiaan terburuk di dunia.

Lebih daripada 25 juta orang di seluruh negara itu — lebih daripada separuh populasi — menghadapi kebuluran yang teruk dan kebuluran juga diisytiharkan di sebuah kem pelarian di Darfur.

“Pembukaan sempadan Adre itu penting untuk bantuan kemanusiaan yang membolehkan kami menghantar bantuan ke wilayah Darfur yang dilanda konflik di Sudan, yang mana kebuluran disahkan sudah berlaku dua minggu lalu,” kata jurucakap WFP Sudan, Leni Kinzli.

WFP sedang segera menggerakkan bekalan makanan dan pemakanan penting untuk dihantar melalui koridor Adre dalam beberapa minggu akan datang.

“Kami perlu memastikan trak bergerak melintasi sempadan ini setiap hari. WFP sangat memerlukan bantuan dan semua laluan sempadan lain ke Sudan dibuka,” tambahnya.

Menurut beliau, dua konvoi dengan hampir 6,000 metrik tan makanan untuk kira-kira setengah juta orang sedang dimuatkan, yang akan dihantar ke kawasan berisiko kebuluran di Darfur sebaik saja mendapat kebenaran kerajaan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment