KUALA LUMPUR 12 Ogos – Bekas Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Azih Muda, berharap pelarasan gaji tidak memberi kesan domino lain sehingga harga barangan dan bahan mentah naik.
Beliau berkata, terdapat kebimbangan akan berlaku peningkatan harga barangan jika perkara itu tidak diberi perhatian.
Justeru kerajaan perlu melaksanakan pemantauan dan kawalan ke atas harga barangan dan bahan mentah supaya tidak dimanipulasi pihak tertentu susulan pelarasan gaji penjawat awam yang diumumkan semalam.
“Kita harap kenaikan gaji ini tidak memberi kesan domino lain sehingga harga barangan dan bahan mentah naik. Ini yang membimbangkan kerana jika ia berlaku, usaha dibuat kerajaan akan menjadi sia-sia.
“Kalau kita lihat di negara maju lain, harga barangan tidak naik selama beberapa tahun, cuma nilai wang saja yang berubah, namun, di Malaysia, apabila harga sesuatu meningkat, harga barangan juga akan turut naik,” katanya.
Azih meminta pihak kementerian dan agensi berkaitan memantau isu berkenaan supaya tidak diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk ‘Reformasi Gaji, Reformasi Perkhidmatan’, yang diterbitkan Bernama TV malam tadi.
Susulan pelarasan gaji penjawat awam yang diumumkan itu, beliau juga berharap warga perkhidmatan awam mampu memberikan perkhidmatan lebih cekap dan inklusif kepada rakyat, sekali gus dapat merealisasikan agenda Malaysia MADANI.
