Tidak boleh lagi bertolak ansur

PUTRAJAYA 11 Ogos  – Masyarakat antarabangsa tidak boleh lagi bertolak ansur dengan keangkuhan rejim Israel susulan serangan biadab terhadap Sekolah al-Tabin di Bandar Gaza, yang meragut lebih 100 nyawa rakyat Palestin semalam.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, serangan terhadap sekolah tempat perlindungan rakyat Palestin termasuk kanak-kanak itu merupakan jenayah kemanusiaan yang tidak boleh dimaafkan.

Serangan itu jelas melanggar undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia.

Justeru Malaysia menyeru sekutu-sekutu rejim agar memaksa Israel untuk segera menghentikan pembunuhan kejam terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa, dan menghentikan segala sokongan yang membolehkan genosid itu diteruskan.

Tambah kenyataan itu, janji-janji kosong Kerajaan Israel untuk mencapai gencatan senjata kekal dalam rundingan damai yang sedang berlangsung, tidak boleh dipercayai malah rejim itu jelas menunjukkan ia tidak mempunyai sebarang niat untuk mencapai perdamaian.

Sambil mengutuk sekeras-kerasnya serangan biadab itu, Malaysia menegaskan tindakan segera, mendesak dan tegas oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) amat diperlukan untuk melaksanakan gencatan senjata kekal, memastikan bantuan kemanusiaan masuk tanpa halangan ke Palestin, serta membawa rejim Zionis ke muka pengadilan atas jenayah perang yang dilakukan.

Selain itu, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mesti bersatu serta bekerjasama dengan semua negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mendesak Israel mematuhi Resolusi UNSC 2735 (2024) dan menghormati Pendapat Penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 19 Julai lalu.

“Adalah amat tidak berperikemanusiaan untuk masyarakat antarabangsa hanya berpeluk tubuh sementara tentera kependudukan Israel terus membunuh wanita, kanak-kanak dan warga tua tanpa sebarang hukuman,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, masa untuk bertindak adalah sekarang dan Malaysia berdiri teguh dalam komitmen terhadap keadilan serta keamanan, dan akan terus memperjuangkan hak-hak rakyat Palestin.

“Malaysia tidak akan berhenti sehingga negara Palestin yang merdeka serta berdaulat ditubuhkan, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya yang sah, dan Palestin diiktiraf sebagai negara anggota penuh PBB,” kata kenyataan itu.

Nnn

Related posts

Leave a Comment