3 wartawan sedia jawab di mahkamah

PUTRAJAYA 9 Ogos – : Tiga wartawan portal berita Malaysiakini dipanggil polis untuk rakaman percakapan berkaitan laporan berita pertukaran kepemimpinan tertinggi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Nantha Kumar, Hariz Mohd dan Shahrin Aizat Noorshahrizam dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, pukul 2.30 petang.

Peguam mereka, Rajsurian Pillay berkata proses rakaman percakapan itu berjalan lancar dan berakhir sekitar pukul 3.40 petang sebelum mereka dilihat keluar pada pukul 3.45 petang.

“Sebanyak 27 soalan diajukan dan antaranya adalah mengenalpasti sumber di sebalik artikel yang disiarkan.

Untuk sebahagian daripada soalan yang ditanya, mereka (wartawan) memilih untuk menjawabnya di mahkamah.

“Etika kewartawanan menyatakan bahawa anda tidak boleh mendedahkan sumber anda. Saya rasa semua pihak termasuk PDRM faham dan menghormati perkara ini,” katanya kepada media sejurus selesai proses rakaman percakapan.

Pillay berkata setakat ini pihaknya tidak dimaklumkan oleh pegawai polis tentang sebarang rancangan untuk memanggil semula wartawan terbabit.

“Pihak polis juga memberikan layanan yang baik sepanjang proses rakaman percakapan berlangsung dan tiada sebarang rampasan telefon bimbit atau komputer riba dibuat untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Hariz berkata, pihak polis bersikap profesional sepanjang rakaman percakapan berlangsung.

“Kami datang ke sini secara rela hati. Kami menghormati proses undang-undang dan sebagai media, kami berharap hak untuk melindungi sumber kami adalah hak yang akan terus dilindungi,” katanya.

Selasa lalu, portal dalam talian itu menyiarkan artikel yang menyatakan beberapa pegawai kanan PDRM termasuk Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, akan ditukarkan ke agensi lain.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bagaimanapun mengesahkan laporan itu tidak benar.

Related posts

Leave a Comment