Kenyataan memalukan, tidak boleh diterima

KAHERAH – Kenyataan Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich yang menyatakan untuk membiarkan dua juta penduduk di Semenanjung Gaza maut akibat kebuluran, disifatkan sebagai “memalukan dan tidak dapat diterima.”

Justeru Mesir mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan itu dengan menekankan bahawa nyawa dan keselamatan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza adalah tanggungjawab negara pendudukan di bawah undang-undang antarabangsa.

Kenyataan kontroversi oleh Smotrich dibuat semasa ucapan di persidangan pada Isnin, apabila beliau mencadangkan bahawa kelaparan dua juta orang di Gaza sehingga mati boleh dianggap adil dan bermoral.

Kementerian Luar Mesir dalam satu kenyataan menyatakan tindakan itu adalah pelanggaran yang jelas terhadap peraturan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan empat Konvensyen Geneva, yang mewajibkan Israel, sebagai kuasa pendudukan, menyediakan kehidupan yang selamat dan keperluan asas bagi rakyat Palestin yang dijajah.

Mesir juga menganggap kenyataan tidak bertanggungjawab itu sebagai hasutan yang tidak boleh diterima terhadap penduduk Semenanjung Gaza dan percubaan untuk mengelak pelaksanaan langkah-langkah interim yang dituntut oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) daripada Israel.

Pada masa sama Mesir mengingatkan masyarakat antarabangsa bahawa intipati dan asas undang-undang kemanusiaan antarabangsa ditubuhkan selama beberapa dekad untuk memerangi dan mencegah amalan yang menjejaskan maruah manusia.

Justeru Mesir menyeru usaha antarabangsa yang berkesan untuk menamatkan penderitaan orang awam di Gaza, memastikan piawaian undang-undang dan etika minimum untuk peperangan ditegakkan, menurut kenyataan itu.

Nnn

Related posts

Leave a Comment