Jokowi bersyukur 280 juta dos tercapai

JAKARTA 3 Jan. – Presiden Joko Widodo bersyukur sasaran vaksinasi Covid-19 akhirnya tercapai selepas lebih 280 juta dos vaksin disuntik kepada penduduk seluruh republik itu sehingga akhir tahun lepas.

“Pada hari ini patut kita syukuri, saya sudah khawatir nanti akhir tahun (2021) target 280 juta dosis vaksin bisa disuntikkan ke seluruh masyarakat tercapai atau tidak. Ternyata tadi pagi sudah berada di angka 281,299,690 dosis,” katanya.

Katanya, berdasarkan geografi Indonesia, pencapaian tersebut bukan suatu hal yang mudah, kerana terpaksa ke kawasan atau daerah dengan menggunakan perahu, motosikal, berjalan kaki dan mendaki gunung.

Beliau berkata demikian pada perasmian Pembukaan Perdagangan Bursa Efek Indonesia (BEI) tahun 2022 yang di gedung BEI, Jakarta Pusat hari ini.

Menurut Jokowi, vaksinasi di Indonesia telah mencapai 70 peratus untuk dos pertama dan 50 peratus untuk dos kedua.

“Hari ini dosis yang pertama sudah 79,6 persen, dosis kedua 54,8 persen. Untuk ibu kota-ibu kota provinsi, kota-kota besar yang interaksi masyarakatnya tinggi juga sudah di atas 70 persen dan 27 provinsi telah mencapai target dosis pertama di atas 70 persen,” ujarnya.

Sementara itu, Indonesia turut bersiap menghadapi varian Omicron yang mudah menular, dan memungkinkan peningkatan kes jangkitan Covid-19 dengan menyediakan 1,011 hospital dan 82,168 katil di seluruh negara.

Penasihat Kanan Pejabat Eksekutif Presiden Indonesia. (KSP) Abraham Wirotomo berkata, kerajaan menyediakan peralatan perlindungan diri, ubat-ubatan dan diagnostik serta keperluan lain yang mencukupi bagi tempoh tiga bulan akan datang.

“Memandangkan kemungkinan lebih ramai pelancong asing berkunjung ke Indonesia dalam tempoh beberapa bulan akan datang, perkhidmatan kesihatan perlu bersedia menghadapi kemungkinan lonjakan COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata beberapa hospital Covid-19 telah mengetatkan syarat lawatan dan mengehadkan kemasukan ke hospital terhadap pesakit bukan Covid-19 untuk mengelakkan peningkatan kes secara mendadak.

Sebanyak 138 kes varian Omicron telah dikesan setakat ini, di mana 135 kes adalah kes import dan tiga lagi kes akibat penularan tempatan – satu di Jakarta dan dua di Surabaya.

Related posts

Leave a Comment