KOTA BELUD 15 Jun – Parti tempatan mesti mendominasi politik Sabah dan diberikan keutamaan menerajui pentadbiran kerajaan negeri, kata Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor.
Justeru Ketua Menteri itu berkata, pentadbiran kerajaan negeri yang kini diterajui GRS dan dibentuk parti tempatan, perlu diteruskan.
“Kita mahu mengekalkan kerajaan (Sabah) ini. Sebab itulah saya percaya pilihan raya (negeri) kali ini sangat penting. Kita tidak boleh memilih jalan yang salah. Parti tempatan mesti mendominasi politik Sabah dan diberikan keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kongres Agung Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) 2025 di Dewan Seri Dungkuan, Kampung Rampayan Laut di sini, hari ini.
Hajiji berkata sebagai Pengerusi GRS, beliau akan memastikan gabungan itu kekal menerajui Sabah sambil menegaskan tidak akan sewenang-wenang menyerahkan hak dan perjuangan GRS.
Beliau turut meminta semua pemimpin serta ahli parti komponen termasuk USNO, supaya turun padang dan menerangkan misi GRS yang berteraskan falsafah ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ serta ‘Sabah First’ (Sabah Diutamakan).
“Inilah inti pati perjuangan kita dalam GRS. Kalau kita kata ‘Rumah Kita, Kita Jaga’, orang sudah faham. Tidak perlu dihuraikan satu demi satu, ia mudah.
“Kita jaga rumah kita, jangan bergaduh. Kalau kita bergaduh, orang lain yang untung, kita pula rugi. Jadi, jangan bergaduh.
“Apa yang penting ialah kita menang pilihan raya supaya boleh meneruskan perjuangan, membantu rakyat dan membangunkan negeri,” katanya.
Selain USNO, GRS termasuk Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku Sabah (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Liberal Demokratik Sabah (LDP) dan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).
Sementara itu, di Tuaran, menjawab spekulasi mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dijangka pada akhir Julai atau awal Ogos depan, beliau menjelaskan belum menetapkan sebarang tarikh.
Beliau bagaimanapun memberi bayangan akan membuat pengumuman mengenai perkara itu selepas Perhimpunan Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada akhir bulan depan.
“Belum lagi, kita mesyuarat dulu perhimpunan agung pada hujung Julai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Gagasan Rakyat, Bahagian Sulaman di Dewan Seri Sulaman Tuaran, Tuaran, hari ini.
Beliau yang juga Presiden Gagasan Rakyat dan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sulaman juga menegaskan gabungan parti pemerintah pimpinannya itu bersedia menghadapi sesiapa saja pada PRN17 nanti.
(Foto fb Hajiji)
Nnnn