OIC salahkan Israel serangan di Tehran

JEDDAH: Mesyuarat luar biasa blok 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyalahkan Israel atas serangan yang membunuh Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh minggu lalu di Iran.

Dalam kenyataan selepas mesyuarat itu di Arab Saudi, OIC berpendapat,  Israel, kuasa penjajah yang tidak sah itu bertanggungjawab sepenuhnya atas serangan kejam” yang turut disifatkan sebagai “pelanggaran serius” kedaulatan Iran.

Menteri Luar Gambia, Mamadou Tangara, yang negaranya mempengerusikan OIC berkata, pembunuhan “kejam” Ismail dan perang berterusan di Gaza juga boleh membawa kepada konflik serantau yang lebih luas.

“Pencerobohan dan pencabulan kedaulatan dan integriti wilayah Republik Islam Iran dengan pembunuhan seorang pemimpin politik di buminya adalah satu tindakan yang tidak boleh dilihat secara berasingan,” kata Tangara.

Dalam ucapannya di mesyuarat OIC, Tangara menggesa untuk keamanan berkekalan bagi menangani punca konflik Israel-Palestin.

“Adalah penting bagi masyarakat global untuk bersama-sama memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada mereka yang memerlukan dan berusaha ke arah penyelesaian politik yang mampan yang menggalakkan keamanan dan keselamatan untuk semua orang di rantau ini,” kata Tangara.

Iran dan Palestin telah menggesa mesyuarat OIC di Jeddah, Arab Saudi.

Dalam pada itu Arab Saudi berkata, pembunuhan Ismail dengan jelas memperlihatkan “pelanggaran terang-terangan” kedaulatan Iran.

Timbalan Menteri Luarnya, Waleed al-Khereiji berkata, Arab Saudi menolak “sebarang pencabulan kedaulatan negara atau campur tangan dalam hal ehwal dalaman mana-mana negara.”

Hamas dan Iran telah menyalahkan Israel atas pembunuhan Ismail di Tehran minggu lalu, namun, kerajaan Israel tidak mengesahkan atau menafikan bertanggungjawab.

Iran telah berjanji untuk membalas, mengancam “hukuman keras” ke atas Israel.

Bagaimanapun, Amerika Syarikat dan negara-negara Barat yang lain telah menyeru agar ketegangan dikurangkan.

Related posts

Leave a Comment