Majlis Ulama UMNO petik hadis jelaskan isu tersasul

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Susulan isu tersasul oleh Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berpidato, Majlis Ulama UMNO Malaysia (MUUM) tampil menjelaskan bahawa tersasul ketika bicara dimaafkan Allah SWT.

Turut sama memberi penjelasan adalah Penasihat Agama Timbalan Perdana Menteri 1 Dr Mohd Khairuddin At-Takiri.

Melalui hantaran di Facebook UMNO online, MUUM menarik perhatian mengenai hadis Nabi SAW yang menjelaskan tentang seorang hamba yang terlalu dan teramat gembira menemui kembali untanya yang hilang.

Setelah puas berusaha dan mencari, akhirnya unta itu ditemukan semula sehingga hamba itu tersasul ketika bersyukur kepada Allah.

MUUM memetik hadis riwayat Muslim (no 2747), di mana hamba itu menyebut “Ya Allah ! Kamulah hambaku dan akulah Tuhanmu, dia tersilap (tersasul) kerana terlampau gembira”

Menurut MUUM, hadis ini menjelaskan bagaimana tersasul dalam berkata-kata boleh berlaku apabila sesuatu keadaan menguasai hati dan perasaan sehingga di saat itu lidah tidak terkawal berkata-kata mendahului perasaan.

“Perasaan terlalu gembira dengan nikmat menjadikan lidahnya tidak terkawal mendahului perasaannya lantas menyebut perkataan yang terbalik lalu Tuhan dikatakan hamba dan dirinya pula diperakui sebagai Tuhan” kata hantaran itu.

Sementara itu, Dr Mohd Khairuddin berkata, tersasul ketika berucap atau berkata-kata tanpa sebarang niat yang disengajakan adalah kesilapan yang biasa berlaku kepada manusia yang hukumnya dimaafkan Allah.

Beliau memerik ayat al-Quran (Al-Ahzab 5) yang bermaksud “Dan tiada kesalahan ke atas kamu pada apa yang kamu tersilap tetapi (yang salah) ialah apa yang disengajakan oleh hati kamu. Dan adalah Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”

Semalam, Ahmad Zahid memohon maaf atas kekhilafannya ketika berpidato pada Himpunan Pembebasan Palestin yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil malam semlam.

“Saya hadir (malam tadi) bersama ribuan rakyat Malaysia bagi memberi dukungan dan tanda solidariti kita untuk pembebasan Palestin.Dalam keghairahan dan rasa penuh semangat tadi, saya memohon maaf atas kekhilafan saya dalam berbicara.

Namun hati yang tulus ikhlas ini tetap membara untuk melaungkan Bebas Palestin! Hidup Palestin! Merdeka Palestin,” kata Presiden UMNO itu dalam hantaran di Facebooknya.

Berdasarkan berapa klip video tular di media sosial, Ahmad Zahid dilihat tersasul melaungkan ‘hidup Israel’ ketika berpidato.

Himpunan Pembebasan Palestin semalam dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama jemaah Kabinet, perwakilan asing dan lebih 15,000 rakyat Malaysia serta warga asing bagi menyatakan sokongan dan solidariti kepada perjuangan serta pembebasan Palestin daripada kekejaman rejim Israel.

Perhimpunan itu juga sebagai penegasan bahawa Malaysia mengecam keras pembunuhan Ismail Haniyeh pada 31 Julai lepas.

Nnn

Related posts

Leave a Comment