Menteri lompat kekal

KUALA LUMPUR 1 Nov. –  Hampir semua penyandang kerusi Parlimen Perikatan Nasional (PN) bertaraf menteri yang pernah melompat parti selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), akan mempertahan kerusi mereka dalam PRU15.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali yang menyandang kerusi Parlimen Gombak, akan mempertahan kerusi itu yang dimenanginya atas tiket Pakatan Harapan (PH-PKR).

Beliau bakal menentang Menteri Besar Selangor yang juga bekas anak didiknya, Amirudin Shari yang mewakili PH.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin pula kekal mempertahan kerusi Parlimen Larut yang dimenanginya atas tiket UMNO, manakala Menteri Luar, Saifuddin Abdullah kekal di kerusi Parlimen Indera Mahkota yang dimenanginya dalam PRU14 ketika mewakili PH.

Turut mempertahan kerusi masing-masing ialah Mohd Rashid Hasnon (Batu Pahat); Kamarudin Jaffar (Bandar Tun Razak); Mansor Othman (Nibong Tebal); Ali Biju (Saratok) dan Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah).

Bagaimanapun penyandang Parlimen Bagan Serai yang juga Timbalan Menteri Kesihatan I, Dr Noor Azmi Ghazali, digugurkan sementara Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Abdul Latiff Ahmad sudah mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Mersing dalam PRU15.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun berpindah dari kerusi ParlimenTitiwangsa yang disandang dan bertanding di Sepang dalam PRU15.

Timbalan Pengerusi PN yang juga Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu akan memikul tugas mempertahan kerusi Parlimen Tambun dengan menentang Pengerusi PH yang juga Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Related posts

Leave a Comment