TEHRAN: Iran mengadakan upacara perarakan untuk ketua politik Hamas Ismail Haniyeh, yang syahid semalam sebelum pengebumiannya di Doha, Qatar.
Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, memimpin doa untuk Haniyeh, selepas mengeluarkan amaran akan melaksanakan ‘hukuman keras’ terhadap pembunuhannya.
Di pusat bandar ibu negara, orang ramai yang berkabung membawa sepanduk memaparkan gambar Haniyeh dan bendera Palestin berkumpul di Universiti Tehran pada pagi Khamis,
Kematian Haniyeh diumumkan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) semalam, yang memberitahu Ismail dan seorang pengawal peribadinya terbunuh dalam satu serangan udara di tempat penginapan di ibu negara Iran pada pukul 2 pagi (2230 GMT).
Sementara itu, pegawai kanan Hamas Khalil al-Hayya berkata Haniyeh, maut selepas terkena peluru berpandu ‘secara langsung’ yang disasarkan pada tempat penginapannya di Tehran.
Akibat serangan peluru berpandu itu, katanya, tingkap, pintu dan dinding bilik diduduki Haniyeh, musnah.
“Haniyeh yang terbunuh di Iran sudah mengabdikan nyawanya untuk agama dan negara. Beliau meninggal dunia dalam keadaan yang luar biasa dan pastinya akan dirindui.
Pemimpin kami itu sedang bertemu delegasi dan adalah pelawat rasmi serta tetamu Iran pada masa pembunuhannya.
“Dia tidak berada di tempat persembunyian rahsia atau jauh dari perhatian, dan pembunuhannya bukanlah kejayaan ketenteraan atau pencapaian perisikan,” katanya.
Tambah Hayya, sayap bersenjata Hamas, Briged Qassam, tidak akan membiarkan pembunuhan Haniyeh berlalu tanpa balasan setimpal.
Selain itu, katanya, Lubnan dan Iran juga takkan membiarkan serangan itu tanpa balasan.
Menurutnya, Israel sedang berusaha untuk ‘membakar seluruh wilayah itu kerana kegagalan mereka mencapai matlamat menguasainya’.
“Israel tidak mahu perjanjian, mereka hanya mahu meneruskan pencerobohan mereka walaupun semuanya berakhir dengan kegagalan,” katanya.
Haniyeh, yang juga bekas Perdana Menteri Palestin, berada di Tehran atas jemputan rasmi Republik Islam Iran, bersama ramai pemimpin negara lain untuk menghadiri majlis perasmian angkat sumpah Presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian.