NILAI 29 Julai – Moh Bertelepok sempena Perpatih Fest 2024 berjaya menarik penyertaan 1,002 wanita sekaki gus mendapat pengiktirafan pemegang rekod Pemakaian Telepok Paling Ramai menerusi The Malaysia Book of Record (MBOR).
Telepok, aksesori ikatan kain batik tradisional itu kebiasaannya dipakai wanita Negeri Sembilan suatu masa dahulu dan kini dilihat sebagai salah satu pakaian rasmi bagi Ibu Soko.
Ini rekod ketiga yang dipecahkan Perpatih Fest selepas memegang rekod Masakan Kari Kepala Kambing Terbanyak (100 kepala) dan Perarakan Panta Berkucung Terbanyak (222) pada penganjuran tahun lalu.
Majlis pengiktirafan itu berlangsung sempena Perpatih Fest yang dirasmikan
Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun di Dataran Nilai di sini petang ini.
Dengan tema ‘Adat Yang Diuco Pakai’, Perpatih Fest kali ini digabungkan bersama NS Fest yang berlangsung selama lapan hari bermula pada 27 Julai lalu sehingga 3 Ogos ini.
Selain acara ‘Moh Bertelepok’ pelbagai aktiviti menarik yang disajikan berkaitan Adat Perpatih dan kebudayaan masyarakat berbilang kaum di Negeri Sembilan.
Menteri Besar berharap , pengunjung NS Fest akan menggunakan peluang dan kesempatan ini untuk mengenali dengan lebih dekat pengamalan Adat Perpatih melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan Luak dan Wilayah Adat dalam Perpatih Fest.
“Antara aktiviti lain pada festival kali ini adalah Forum Perdana Ehwal Islam, Demontrasi Masakan Luak, Demonstrasi Peralatan Adat Luak, Persembahan Kebudayaan dan Kesenian Luak serta Masakan Masyarakat Cina, India dan Orang Asli,” kata Aminuddin ketika berucap pada majlis berkenaan.
Sasaran awal Moh Bertelepok hanya melibatkan 500 peserta sahaja tetapi hari ini acara itu mendapat sambutan menggalakkan melibatkan wanita dari pelbagai peringkat usia yang mengenakan telepok.
Aminuddin berkata, manusia tidak dapat menolak arus permodenan, namun tidak boleh membiarkan warisan peninggalan yang diwarisi datuk nenek moyang, iaitu Adat Perpatih hanyut dibawa arus kemajuan.
“Jadi, kerajaan negeri mengambil inisiatif dengan menyalurkan Dana Memperkasakan Adat Perpatih melalui Lembaga Muzium Negeri Sembilan sejak 2019 untuk Luak dan Wilayah Adat menjalankan program dan aktiviti,” katanya.
