Bekas pemimpin Pemuda Pas Gua Musang calon Bersatu

GUA MUSANG 29 Julai – Bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang, Mohd Rizwadi Ismail, 41, diumumkan sebagai calon Bersatu yang akan menggunakan lambang bulan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Ogos ini.

Pengumuman dibuat oleh Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud pada Majlis Pengumuman Calon PN hari ini.

Mohd Nassuruddin berkata, Rizwadi yang juga pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dipilih kerana faktor usia yang masih muda memandangkan pengundi muda di DUN Nenggiri adalah tinggi.

“Calon diumumkan seorang aktivis yang aktif dan pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang selain seorang pesara TLDM. Mohd Rizwadi, penduduk di Bertam Lama dan menyertai Bersatu demi penduduk Nenggiri.

“Beliau tidak pernah meminta untuk menjadi calon sebaliknya ini adalah pilihan Perikatan Nasional (PN) yang memilih beliau,” kata Menteri Besar Kelantan itu.

Yang turut hadir, Naib Pengerusi Bersatu Ahmad Faizal Azumu, Naib Presiden Bersatu,  Dr Radzi Jidin; Naib Presiden Pas, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Nenggiri diadakan pada 17 Ogos depan berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Bersatu pada 13 Jun lalu.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, Mohd Rizwadi diterima baik oleh semua pimpinan dalam PN dan tidak menjadi sebarang isu calon berkenaan bekas ahli Pas yang baru menyertai Bersatu kerana calon itu dipilih mewakili PN.

Katanya, calon yang dipilih memenuhi kriteria dan seorang aktivis yang bergiat aktif, selain pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang.

“Alhamdulillah diatas permuafakatan PN, kita memilih Mohd Rizwadi sebagai calon dari Bersatu untuk PRK Nenggiri dan kita juga mengekalkan keputusan menggunakan logo Pas,” katanya..

Faizal Azumu yakin dengan mempertaruhkan calon muda yang berusia 41 tahun itu, ia mampu menjadi tarikan kepada pengundi.

“Ini kerana kita dapati jumlah pengundi muda di DUN Nenggiri adalah tinggi dan ini masa yang terbaik untuk beliau,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment