KUALA LUMPUR 26 Julai – : Kelab Veteran UMNO senada dengan kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah, yang meminta pemimpin DAP menjauhkan diri, daripada kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan.
Setiausaha kelab itu, Mustapha Yaakub, mengakui hasrat DAP untuk membantu Barisan Nasional (BN) mendapatkan sokongan Orang Asli tetapi berhujah bahawa DAP tidak akan berkesan memandangkan Orang Asli di Nenggiri adalah ‘Bumiputera Islam berbahasa Melayu.’
Beliau juga memberi amaran, kehadiran DAP mungkin mengelirukan pengundi dan dieksploitasi pembangkang, yang berpotensi memudaratkan kempen BN.
“Oleh itu, adalah lebih baik jentera DAP tidak menyertai kempen ini,” kata Mustapha dalam satu kenyataan.
Sebelum ini Razaleigh yang juga Pengarah PRK UMNO Nenggiri, meminta pemimpin DAP menjauhkan diri, dengan menjadikan demografi 100 peratus Melayu kawasan itu sebagai alasan.
Razaleigh dilaporkan mendakwa, ucapan pemimpin DAP sentiasa berpaksikan kepentingan masyarakat Cina.
“Apa untungnya? Dia ke sana dia buang masa dia dan dia buang masa kita. Orang Melayu di Nenggiri nak dengar pandangan orang Melayu terhadap orang Melayu di situ,” katanya seperti dilaporkan sebuah portal berita.
Semalam, BN menolak kenyataan palsu yang kononnya daripada Pengerusinya, Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mendakwa pemimpin parti tertentu dihalang daripada menyertai kempen yang akan dijalankan oleh UMNO dan BN di Nenggiri.
Zahid menyifatkan surat terbabit sebagai muslihat politik untuk memecahbelahkan kerajaan perpaduan dan mengalu-alukan sebarang bantuan untuk pilihan raya kecil akan datang.
Nnn
