PUTRAJAYA 26 Julai – Kementerian Pendidikan (KPM) mengekalkan garis panduan sedia ada bagi penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah, kata Menterinya Fadhlina Sidek.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) Rabu lalu yang antara lain menggariskan aktiviti sumbangan dana kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah.
Dalam kenyataannya, beliau juga menjelaskan, pertimbangan diberi kepada sekolah vernakular menerima sumbangan dana melalui Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan yayasan seperti mana yang telah diamalkan sejak beberapa pentadbiran terdahulu dan tidak pernah dipertikaikan mana-mana pihak.
“Bagaimanapun, Jemaah Menteri menegaskan bahawa penganjuran aktiviti melibatkan jenama minuman keras tidak boleh melibatkan pelajar Islam,” katanya.
Kenyataan itu susulan tercetusnya kontroversi berhubung konsert amal pendidikan bertujuan membuat kutipan membina dewan sekolah terbabit yang didirikan sejak 30 tahun lalu, turut membabitkan sumbangan dan tajaan sebuah syarikat arak.
Isu terbabit timbul selepas satu acara yang turut membabitkan penyerahan sumbangan daripada syarikat arak berkenaan turut membabitkan kehadiran pemimpin serta dibuat di premis sekolah.
Situasi berkenaan membawa kepada percanggahan beberapa pandangan dan pendapat, khususnya membabitkan pemimpin parti politik, memaksa isu itu kemudian dirujuk dan dibincangkan ke peringkat Kabinet.
Nnnn
