WASHINGTON: Setiap tahun, gelombang haba meragut hampir setengah juta nyawa penduduk dunia, 30 kali lebih banyak berbanding siklon tropika, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.
Justeru beliau menggesa negara-negara menangani keperluan mendesak terhadap panas melampau, didorong perubahan iklim, beberapa hari selepas dunia mencatatkan hari terpanas dalam rekod.
Katanya, dunia tahu apa yang mendorong situasi ini, bahan api fosil, perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia dan ia akan menjadi lebih teruk.
“Dunia mesti menghadapi cabaran peningkatan suhu…haba melampau adalah perkara baharu yang tidak normal, namun berita baiknya ialah kita boleh menyelamatkan nyawa dan mengehadkan kesannya,” katanya
Katanya, haba melampau semakin menjejaskan ekonomi, meluaskan ketidaksamaan, melemahkan Matlamat Pembangunan Mampan PBB dan membunuh mangsa.
Guterres berkata beliau melancarkan permintaan global dengan empat bidang tumpuan — menjaga mereka yang paling terdedah, meningkatkan perlindungan untuk pekerja, meningkatkan daya tahan ekonomi dan masyarakat menggunakan data dan sains.
“Hari ini, tumpuan kita adalah pada kesan haba melampau. Tetapi jangan lupa bahawa terdapat banyak lagi gejala yang mendorong krisis iklim, iaitu taufan yang semakin ganas, banjir, kemarau , kebakaran hutan, peningkatan paras laut dan senarai itu berterusan,” kata Guterres.
Untuk menangani simptom itu, beliau berkata dunia perlu memerangi ‘penyakit’ itu.
Beliau berkata anggota Kumpulan 20 mesti mengalihkan subsidi bahan api fosil kepada tenaga boleh diperbaharui dan menyokong negara dan komuniti yang terdedah.
“Mesejnya jelas: Bahang panas. Panas melampau memberi kesan melampau kepada manusia dan planet ini. Dunia mesti menghadapi cabaran peningkatan suhu,” katanya.
Tahun ini, panas terik membunuh 1,300 jemaah haji, menutup sekolah untuk kira-kira 80 juta kanak-kanak di Afrika dan Asia, dan membawa kepada peningkatan kemasukan ke hospital dan kematian di Sahel.
Setiap bulan sejak Jun 2023 disenaraikan sebagai yang paling panas di planet ini sejak rekod bermula pada 1940, berbanding bulan yang sama pada tahun-tahun sebelumnya, menurut Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah.
Lebih 70 peratus tenaga kerja global iaitu 2.4 bilion orang kini berisiko tinggi terjejas akibat kepanasan melampau, menurut laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang diterbitkan semalam.
Di Afrika, hampir 93 peratus tenaga kerja terdedah kepada haba yang berlebihan, manakala 84 peratus bagi tenaga kerja di negara Arab, lapor ILO.
Panas melampau menyebabkan hampir 23 juta kecederaan di tempat kerja di seluruh dunia, dan kira-kira 19,000 kematian setiap tahun.
Beberapa penyelidik menganggarkan menjelang 2050, peningkatan 700 peratus global dalam bilangan penduduk miskin bandar yang hidup dalam keadaan panas yang melampau.
Nnn
