Elak peruntukan jenayah syariah dicabar

KUALA LUMPUR 8 Nov. – Kira-kira 300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Islam mendesak Perlembagaan dipinda segera bagi mengelak peruntukan jenayah syariah di negara ini dicabar atau lebih buruk lagi berisiko dibatalkan.

Kerajaan juga digesa menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelesaikan kemelut didakwa tekanan terhadap bidang kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam menggubal peruntukan berkait dengan kesalahan jenayah syariah bagi orang Islam.

Susulan itu, wakil NGO terbabit menyerahkan memorandum gesaan itu di Parlimen, hari ini, yang diterima oleh wakil rakyat daripada Perikatan Nasional (PN) berikutan tiada wakil kerajaan yang menerimanya.

Timbalan Presiden Pas,  Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang menerima memorandum itu berkata, isu mencabar Mahkamah Syariah di negara ini adalah penting untuk ditekankan dan ia merentasi parti politik untuk diselesaikan.

Katanya, ini kerana aspek perundangan Islam adalah berkait rapat dengan akidah yang tidak boleh dikompromi oleh mana-mana pihak.

Sebelum ini, katanya, Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan telah membangkitkan persoalan penting supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mencelah dalam perbicaraan kes Nik Elin Zurina Rashid.

“Ini kerana implikasi kes itu adalah sangat besar kepada seluruh undang-undang Mahkamah Syariah di negara kita. Sekiranya ia berlaku (permohonan Nik Elin Zurina diluluskan mahkamah), akan menyebabkan sebahagian besar bidang kuasa Mahkamah Syariah terhapus,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.

Dalam kes berkenaan, Nik Elin Zurina memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan supaya 20 seksyen kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, terbatal dan tidak sah, selain memohon mahkamah mengisytiharkan DUN Kelantan tidak mempunyai kuasa membuat enakmen berkaitan kesalahan jenayah syariah yang terpakai kepada orang Islam saja.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 20 November ini bagi menyambung pendengaran petisyen peguam itu.

Tuan Ibrahim juga memaklumkan, satu perhimpunan munajat akan diadakan di hadapan Istana Kehakiman, Putrajaya, pada pagi 20 November ini susulan prosiding terbabit.

“Selain itu, kita juga akan mengadakan perhimpunan di Terengganu pada 16 November ini dan di Kelantan dua hari selepas itu,” katanya.

Sementara itu, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas dan Ketua Whip PN  mendakwa, sekiranya Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Nik Elin Zurina, ia sekali gus bermakna semua enakmen jenayah syariah di 14 negeri dianggap batal.

“Ini adalah isu umat Islam yang cukup besar dan ia boleh dianggap 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) kerana menyentuh isu agama,” katanya.

Related posts

Leave a Comment