WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan Naib Presiden, Kamala Harris mendesak Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk bersetuju dengan gencatan senjata Gaza.
Bagaimanapun desakan itu dibuat hanya beberapa hari selepas Biden, 81, mengumumkan tidak akan bertanding semula.
Menurut Rumah Putih, Biden akan terus mendesak gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan antara Israel dan Hamas.
Pentadbiran Biden masih percaya Netanyahu bersedia untuk bersetuju dengan perjanjian walaupun pada Kongres AS lalu pemimpin rejim Zionis itu berikrar “kemenangan total” terhadap Hamas.
“Kami boleh mencapai perjanjian, tetapi seperti biasa ia memerlukan beberapa kepemimpinan dan kompromi,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara, John Kirby.
Walaupun Biden sekian lama memastikan bantuan ketenteraan mengalir ke Israel sejak serangan Hamas pada 7 Oktober tahun lalu, hubungan dengan Netanyahu menjadi sangat tegang.
Seorang pegawai kanan pentadbiran AS berkata, rundingan mengenai perjanjian Gaza sedang dalam “peringkat penutupan” dan Biden akan cuba menutup beberapa “jurang terakhir” dengan Netanyahu.
Dalam ucapan menjelaskan keputusannya untuk berundur daripada pilihan raya, Biden berkata, beliau akan “terus berusaha untuk menamatkan perang ke atas Gaza.”
Sebelum itu, Netanyahu bertemu Biden buat kali pertama di Rumah Putih.
“Daripada seorang Yahudi Zionis kepada seorang Zionis Amerika Ireland, saya ingin mengucapkan terima kasih atas 50 tahun perkhidmatan awam dan 50 tahun sokongan untuk Israel.
“Dan saya tidak sabar-sabar untuk berbincang dengan anda hari ini dan bekerjasama dengan anda pada bulan-bulan akan datang,” kata Netanyahu sebagai penghormatan kepada Biden pada permulaan mesyuarat.
Dalam masa yang sama Netanyahu, 74, juga bertemu secara berasingan dengan Naib Presiden dan calon presiden Parti Demokrat, Kamala Harris yang mencerminkan realiti politik baharu Biden dalam tempoh enam bulan akan datang.
Harris dilihat lebih lantang bercakap mengenai Gaza pada masa lalu dan terdapat spekulasi bahawa beliau boleh menggunakan pendekatan lebih keras ke atas Israel.
Nnn
