Calon Bebas Dudong tarik diri

SIBU 18 Dis. – Calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong, Engga Unchat, menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12 Sarawak), hari ini.

Penarikan diri Engga, 65, dibuat menerusi surat yang ditandatangani Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi DUN Dudong, Abdul Razak Awang Bini.

Surat berkenaan mula tersebar di laman sosial lewat malam tadi dan Engga dalam hantaran di akaun Facebook tengah malam tadi mengesahkan keputusan menarik diri itu.

“Dengan surat ini, saya mengumumkan menarik diri sebagai calon yang akan bertanding dalam PRN-12 Sarawak.

“Saya calon no.8 (lambang KUNCI) di bahagian N.52 Dudong melalui surat ini mengesahkan penarikan diri saya daripada bertanding dalam PRN-12 Sarawak.

“Saya dengan ini memberikan sokongan penuh dan padu kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya.

Beliau berkata, keputusan itu diambil bagi memastikan kesinambungan pembangunan di kawasan Dudong.

“Saya menyeru pengundi di kawasan ini untuk memberi sokongan sepenuhnya kepada calon GPS,” katanya.

Kawasan DUN Dudong menyaksikan lapan  calon bertanding iaitu Tiong King Sing, yang mewakili GPS; Paul Ling Fong dari DAP, calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Wong Hie Ping; calon Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB), Julius Enchane; calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Jane Lau Sing Wee dan calon Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI), Josephine Lau Kiew Peng serta Fadhil Mohamad Isa atau ‘Cardock’, Bebas.

Related posts

Leave a Comment