SELAYANG 23 Julai – Pengurusan sekolah diingatkan supaya mematuhi garis panduan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan dalam menerima sebarang sumbangan daripada mana-mana pihak, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Beliau berkata, sekolah adalah milik masyarakat dan pihaknya meraikan apa jua bentuk sumbangan atau pendanaan awam seperti digariskan oleh kementerian.
“Garis panduan berkenaan adalah untuk memastikan semua perkara berkaitan sumbangan dapat dimanfaatkan oleh sekolah-sekolah.
“Jadi saya menasihatkan untuk mematuhi garis panduan terbabit dan pihak sekolah perlu memastikan tanggungjawab berkenaan dilaksanakan di peringkat pentadbir bagi membolehkan semuanya berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan ‘Malaysian University English Test’ (MUET) 2023,di Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) di sini, hari ini.
Fadhlina berkata, mekanisma perkara itu tidak begitu sukar atau mendatangkan mudarat kepada mana-mana sekolah dan kementerian masih mengalu-alukan sumbangan, namun ia perlu mematuhi garis panduan berkenaan.
“Kita ada mekanisma yang kita boleh mengharmonikan keadaan itu supaya mesej yang kita mahu sampaikan adalah mesej pendidikan,” katanya sambil menegaskan, isu sumbangan syarikat arak yang tular masih dalam siasatan pihaknya.
Bagaimanapun, katanya, siasatan berkenaan tidak menjurus kepada tindakan atau hukuman, sebaliknya adalah untuk membolehkan kementerian memberikan bimbingan kepada pengurusan sekolah.
“Kita sedang jalankan siasatan, mana-mana yang berkaitan dalam isu itu dalam radar kementerian. “Ia untuk memastikan bahawa kalau ada masalah berkaitan garis panduan, kita hanya hendak berikan bimbingan sahajalah tak ada isu.
“Garis panduan kekal, tetapi kementerian akan berikan bimbingan kepada sekolah dari semasa ke semasa,” katanya.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Sepang yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Aiman Athirah Sabu melahirkan rasa kesal susulan dikatakan usaha membangunkan pendidikan di Parlimen itu ‘tenggelam’ selepas tular gambar pembabitan sebuah syarikat minuman keras yang hadir sebagai antara penyumbang.
Aiman Athirah memenuhi undangan daripada Lembaga Pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di Sepang bagi menghadiri Konsert Amal Pendidikan bertujuan membuat kutipan membina dewan sekolah yang didirikan sejak 30 tahun lalu.
Program itu dirasmikan EXCO Selangor, Ng Suee Lim dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Lwi Kian Keong.
Sementara itu, di SEREMBAN Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata, isu pemberian sumbangan dan tajaan oleh syarikat minuman keras kepada sekolah Cina akan dibawa ke mesyuarat Kabinet esok.
Beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu kerana pembabitan syarikat minuman keras bagi membantu mengumpul dana untuk sekolah Cina sudah berlaku sejak puluhan tahun lalu.
“Syarikat minuman keras menganjurkan program mengumpul dana untuk sekolah-sekolah Cina berlaku sejak 30 tahun lalu dan saya juga pernah menghadiri majlis itu.
“Selama ini tidak timbul sebarang masalah, kenapa sekarang baharu nak jadikan isu? Ini sesuatu yang mesti kita faham bahawa ini bukan perkara baharu.,” katanya selepas merasmikan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Permotoran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mantin di sini, hari ini.
Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, program berkenaan juga biasanya akan diadakan di luar sekolah seperti di restoran dan sebagainya yang bertujuan untuk mengutip dana bagi pembangunan sekolah.
“Dalam kalangan masyarakat Cina khususnya memang ada penganjuran program sumbangan oleh syarikat korporat minuman keras untuk anjurkan pelbagai aktiviti di sekolah,” katanya.
Nnn
