DHAKA: Masuk hari keempat, Bangladesh masih di bawah perintah berkurung, dengan anggota tentera membuat rondaan di ibu kota dan kawasan lain, manakala internet kekal disekat di seluruh negara sejak terganggu pada malam Khamis.
Pembantu khas Perdana Menteri Sheikh Hasina, Biplab Barua, berkata keadaan bagaimanapun terkawal di seluruh negara, kecuali beberapa insiden di Dhaka, Narayanganj dan Narsingdi.
Pihaknya berharap dalam tempoh 48 jam akan datang keadaan akan bertambah baik, dan negara akan beroperasi seperti biasa.
“Kami menjangkakan untuk memulihkan perkhidmatan internet jalur lebar malam ini (Isnin). Sebaik sahaja keadaan kelihatan normal, tempoh perintah berkurung akan diringankan,” katanya kepada Arab News.
Pelajar universiti berdemonstrasi sejak awal bulan ini untuk menuntut reformasi sistem kuota pekerjaan sehinggakan protes besar-besaran di seluruh negara mengakibatkan sekurang-kurangnya 114 terbunuh.
Mahkamah Agung pada Ahad memerintahkan kuota yang dikhaskan untuk keluarga veteran dipotong kepada lima peratus dan 93 peratus pekerjaan diperuntukkan secara merit, manakala baki dua peratus akan dikhaskan untuk ahli etnik minoriti dan orang kurang upaya.
Kerajaan sebelum ini memansuhkan kuota berikutan bantahan pelajar pada 2018, tetapi ia dikembalikan semula oleh Mahkamah Tinggi pada Jun, mencetuskan pusingan baharu demonstrasi.
Kumpulan penganjur protes utama yang dikenali Mahasiswa Menentang Diskriminasi, berkata beberapa tuntutan mereka masih tidak dipenuhi, termasuk pembukaan semula universiti serta siasatan terhadap tindakan keras yang membawa maut.
Penunjuk perasaan juga masih menunggu kerajaan mengeluarkan pemberitahuan rasmi mengenai keputusan Mahkamah Agung.
“Memandangkan perintah berkurung sedang dijalankan, kami tidak berada di jalanan buat masa ini. Ia akan membahayakan nyawa pelajar kami,” kata Sarjis Alam, penyelaras protes.
