RUU Israel isytihar UNRWA pengganas

BAITULMAQDIS: Parlimen Israel memberikan kelulusan awal terhadap Rang Undang-Undang (RUU) yang mengisytiharkan organisasi bantuan utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk rakyat Palestin sebagai pertubuhan pengganas, sekali gus bercadang untuk memutuskan hubungan dengan badan itu.

Tindakan mengisytiharkan Agensi Bantuan dan Pekerjaan PBB (UNRWA) sebagai pengganas, dilihat sebagai langkah terbaharu penentangan Israel terhadap agensi itu, yang sebelum ini didakwa mempunyai hubungan kerjasama dengan Hamas.

Menurut perkhidmatan maklumat badan perundangan Israel,  Knesset, RUU berkenaan diluluskan pada bacaan kali pertama dan akan diserahkan kepada jawatankuasa hal ehwal luar negeri dan pertahanan untuk rundingan lanjut.

RUU itu diusulkan anggota Knesset, Yulia Malinovsky, yang mendakwa UNRWA digambarkan sebagai kumpulan dalam negara berperang yang bekerja untuk musuh atau lajur kelima dalam Israel.

UNRWA menawarkan bantuan pendidikan, kesihatan dan sumbangan lain kepada jutaan rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat, Jordan, Lubnan dan Syria.

Ia dilaporkan sudah lama mempunyai hubungan tegang dengan Israel dan semakin ‘parah’ sejak perang di Gaza malahan, Israel juga beberapa kali meminta UNRWA dibubarkan sebelum ini.

Israel mendakwa, ratusan kakitangan UNRWA adalah ahli kumpulan organisasi berkaitan Islam termasuk Hamas dan Jihad Islam namun, sehingga kini Israel masih gagal memberikan bukti kepada badan kajian yang dilantik PBB.

Terdahulu beberapa negara yang memberikan sumbangan pembiayaan kepada UNRWA menghentikan bantuan berikutan tuduhan Israel dan hanya baru-baru ini banyak negara menarik balik keputusan itu termasuk Britain.

Sementara itu, jurucakap UNRWA, Juliette Touma, berkata langkah terbaharu Israel dilihat sebagai satu lagi taktik bagi membubarkan organisasi terbabit.

Dalam pada itu, Hamas dan Pihak Berkuasa Palestin mengecam undi terbabit manakala pegawai kanan dari pihak berkuasa Palestin, Hussein Al-Sheikh, yang juga sekutu kanan Presiden Palestin Mahmoud Abbas, meminta masyarakat antarabangsa untuk menentang percubaan bagi pembubaran agensi itu.

(Foto UNRWA)

Nnn

Related posts

Leave a Comment