BN Sabah tentukan kerjasama parti lain

SANDAKAN 21 Julai – Barisan Nasional (BN) Sabah perlu diberi peluang menentukan kerjasama dengan parti lain berpandukan tiga asas penting iaitu politik pembangunan, autonomi dan akomodasi atau perkongsian kuasa.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Salleh Said Keruak berkata, politik autonomi dan akomodasi membezakan politik Sabah dengan Sarawak dan Semenanjung, selain antara punca berlaku banyak pertukaran kerajaan dalam sejarah negeri ini.

Beliau yang menjadi ahli panel forum ‘BN Membina Negara Bangsa’ sempena Konvensyen BN Sabah di Sandakan, hari ini, berkata kerajaan negeri bertukar banyak kali sejak awal kemerdekaan disebabkan faktor berkenaan.

“Ia disebabkan politik akomodasi atau perkongsian kuasa di antara Bumiputera Islam, Bumiputera Bukan Islam dan Cina yang menjadi kumpulan utama di negeri ini,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan itu.

Katanya, mana-mana parti membentuk kerajaan negeri yang gagal melaksanakan perkongsian kuasa di antara tiga kumpulan utama masyarakat di Sabah itu akan ditukar.

“Purata parti yang memerintah hanya bertahan 10 tahun, apabila ada isu politik akomodasi, rakyat tukar pula dengan parti lain pada pilihan raya. Kita dapat lihat apa yang berlaku kepada Parti Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

“Selepas kira-kira 10 tahun berkuasa, USNO kalah pilihan raya, bukan sebab pembangunan, tapi kononnya tiada perkongsian kuasa di antara Bumiputera Islam, Bumiputera Bukan Islam dan Cina.

“Kemudian, sebuah lagi parti baharu ditubuhkan dan menang pilihan raya. Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) pada mulanya hebat, tapi selepas 10 tahun ditukar lagi,” katanya.

Beliau mengimbau pembangunan Sabah pada masa itu hebat, tetapi kerana politik akomodasi, Berjaya kalah juga akhirnya.

“Jadi, di Sabah ini, kita kena berkongsi kuasa di antara Bumiputera Islam, Bumiputera bukan Islam dan Cina,” katanya mengumpamakan pertukaran kerajaan negeri di Sabah yang kerap berlaku itu seperti menukar baju.

Katanya, politik autonomi pula merujuk kepada tuntutan hak Sabah yang mahukan kuasa lebih besar diberikan kepada negeri.

Sementara itu, beliau berkata, formula kerjasama politik di Sabah adalah berlandaskan gabungan parti nasional dan tempatan, bukan parti tempatan untuk Sabah seperti diperjuangkan parti lain.

Katanya, kehadiran parti nasional bukan bermakna berlaku penjajahan, sebaliknya parti nasional turut membantu mengembalikan hak Sabah yang terlepas, berbanding parti tempatan sendiri.

Nnn

Related posts

Leave a Comment