SANDAKAN 21 Julai – Barisan Nasional (BN) Sabah tidak boleh lagi berbalah dan berpecah-belah selepas begitu banyak cabaran dan dugaan dilalui serta pengajaran yang diperoleh, kata Pengerusi BN Negeri, Bung Moktar Radin,
Katanya, BN Sabah perlu memperkuatkan jentera, menyatu-padukan minda dan bergerak dengan hanya satu suara dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
“BN Sabah sedia maju ke hadapan, BN Sabah sedar kita telah lalui pelbagai dugaan, cabaran, badai samudera, onak dan duri, pelbagai tohmahan dan fitnah. Semua itu cabaran kepada kita, perjuangan tanpa cabaran bukan perjuangan.
“Dalam perjuangan, tak ada jalan mudah, bersedialah untuk kita diadu-domba, tapi kita juga bersedia untuk bergerak ke hadapan. Satu-padukan minda kita, kalau bukan kali ini, tidak ada lagi lain kali,” katanya.
Bung Moktar yang juga Pengerusi UMNO Sabah berucap demikian pada Himpunan dan Konvensyen BN Sabah 2024, di sini hari ini yang dirasmikan Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Bung Moktar, BN perlu melakukan revolusi di negeri ini dengan apa cara sekali pun untuk terus mara dan memastikan mendapat mandat rakyat untuk kembali menjadi kerajaan di Sabah.
“Kali ini, BN kita terjemah dengan wajah baharu, inisiatif baharu, tawaran baharu. Kita perlu buat revolusi untuk Sabah, kena berani pecahkan ruyung. Jangan lagi bergaduh hal remeh-temeh, ketepikan soal yang sedikit-sedikit (isu kecil).
“Harus lihat pandangan lebih besar dan jauh untuk pastikan Sabah ini benar-benar kita keluarkan daripada masalah. Banyak masalah, tapi tidak ada seorang pun berani selesaikan masalah, BN tawar diri untuk selesaikan.
“Isya-Allah, PRN17 kita akan pastikan BN kembali ke puncak. Menerusi resolusi BN (konvensyen hari ini), insya-Allah BN Sabah akan pegang teguh, bukan saja untuk menang pilihan raya, selepas menang akan buat kerja untuk rakyat,” katanya.
Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu juga bertekad, BN akan mengeluarkan negeri ini dari carta kemiskinan dan kemunduran.
“Sudah 61 tahun Sabah miskin, mundur. Insya-Allah selepas PRN17, Sabah akan kita keluarkan daripada belenggu kemiskinan. Sabah banyak sumber, tapi oleh kerana pengurusan tak tepat, komitmen tak ada, Sabah jadi miskin, mundur, jadi pengemis.
“Sabah seharusnya lebih makmur, tapi semua tak berlaku. Sepak (tendang) parti Malaysia (parti politik dari Semenanjung), mahu parti tempatan, tapi dari dulu, asal parti tempatan (jadi kerajaan), rakyat Sabah derita,” katanya.
Beliau menjelaskan, ada 14 parti tempatan di Sabah, termasuk yang menjadi kerajaan negeri, tetapi negeri ini kekal miskin.
Nnn
