KUALA LUMPUR 19 Julai – Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) buat julung kalinya akan menganjurkan Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2024 bagi mengumpul dana membantu kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat wabak Covid-19.
Pengerusi YKM, Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini, pihaknya berjaya mengenal pasti 6,000 kanak-kanak menjadi yatim piatu disebabkan wabak itu.
Beliau berkata, ketika penularan Covid-19, ramai ibu bapa meninggal dunia dan kanak-kanak terbabit kebanyakannya dijaga oleh penjaga atau nenek yang tiada pekerjaan tetap.
“Oleh itu, kita mewujudkan YKM untuk membantu kanak-kanak berkenaan mendapatkan kehidupan lebih baik selepas Covid-19.
Sumbangan ini diberi secara berterusan, termasuk melalui Bantuan Kasih YKM, Bantuan Persekolahan, Bantuan Menara Gading serta Hadiah Kecemerlangan Akademik,” katanya pada sidang media Larian #KeluargaMalaysia 2024, di sini, hari ini.
Ismail Sabri berkata, ketika beliau menjadi Perdana Menteri, sebanyak RM25 juta diperuntukkan bagi membantu kanak-kanak terbabit.
“Setahun, tiga kali kita memberi sumbangan kepada mereka dengan jumlah RM2,000. Ini termasuk sumbangan untuk persekolahan dan Hari Raya.
“Jadi perbelanjaan setahun adalah kira-kira RM5 juta. Bagi mengurangkan beban kerajaan, kita mengambil inisiatif mencari dana sampingan, selain dana diberi kerajaan.
“Pada masa sama, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kerana beliau bersetuju menyalurkan dana sebanyak RM5 juta setahun kepada YKM,” katanya.
Ismail Sabri berkata, pihaknya menyasarkan seramai 3,000 orang menyertai larian itu yang akan diadakan di Persiaran Flora Cyberjaya pada 29 September depan.
YKM turut mengalu-ngalukan tajaan dan sokongan dalam pelbagai bentuk daripada semua pihak khususnya syarikat-syarikat korporat.
Pada majlis hari ini, Ismail Sabri turut memperkenalkan Khairy Jamaluddin sebagai duta larian itu yang dibahagikan kepada tiga kategori membabitkan 21 kilometer (km), 10km dan 5km.
Katanya, pemilihan Khairy bertepatan dengan pembabitannya dalam bidang sukan larian serta maraton, termasuk pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan.
“Beliau juga memahami denyut nadi anak-anak ini kerana terbabit secara langsung dengan kerajaan sebagai Menteri Kesihatan untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat ketika Covid-19,” katanya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan pendaftaran boleh melayari laman sesawang rasmi LKM 2024: lariankeluargamalaysia.com .
