MH17 : Malaysia ulangi komitmen

PUTRAJAYA 17 Julai – Malaysia mengulangi komitmennya dalam proses kehakiman yang dijalankan secara telus di bawah undang-undang antarabangsa terhadap pihak bertanggungjawab dalam tragedi Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh pada 17 Julai 2014.

Kementerian Pengangkutan berkata kerajaan juga komited untuk mencari keadilan bagi keluarga mangsa dalam kejadian berkenaan.

“Kerajaan Malaysia teguh bahawa proses terbabit untuk mendapatkan kebenaran, keadilan, dan pertanggungjawaban.

“Kami sekali lagi bersimpati dan merakamkan ucapan takziah paling mendalam kepada keluarga dan orang tersayang mangsa MH17,” kata kementerian itu menerusi satu kenyataan hari ini.

Kementerian Pengangkutan berkata sedekad sudah berlalu sejak pesawat terbabit ditembak jatuh sehingga mengakibatkan semua 298 penumpang dan anak kapal terkorban termasuk 43 daripadanya adalah rakyat Malaysia.

Katanya, melalui tragedi terbabit, negara bersatu dan bertekad biarpun dalam kesedihan.

“Kami berjanji untuk mencari keadilan bagi mereka yang sudah tiada dan menuntut mereka yang terbabit untuk bertanggungjawab di atas perbuatan tidak berperikemanusiaan ini,” kata kenyataan itu.

MH17 ditembak jatuh ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur di ruang udara timur Ukraine pada 17 Julai 2014 menyebabkan semua 298 penumpang, sebahagian besarnya rakyat Belanda serta anak kapal terbunuh.

Penumpang lain membabitkan rakyat Australia, Britain, Malaysia dan Indonesia.

Pada 2022, Mahkamah Daerah The Hague menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas dua warga Russia dan seorang warga Ukraine selepas didapati bersalah menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 2014.

Dua warga Russia, Igor Girkin dan Sergei Dubinsky serta warga Ukraine, Leonid Kharchenko, turut didakwa menyebabkan semua 298 penumpang dan krunya terbunuh.

Hakim Hendrik Steenhuis yang membacakan ringkasan penghakiman turut memerintahkan ketiga-tiga lelaki itu membayar pampasan kepada ahli keluarga mangsa.

Katanya, peluru berpandu Buk Telar dibawa ke Ukraine atas inisiatif Dubinsky, selaku pegawai memerintah dalam Republik Rakyat Donetsk (DPR) dan pegawai memerintah dalam DPR.

(laporan Harian Metro)

Nnnn

Related posts

Leave a Comment