Faizal Azumu sedia beri laluan kepada Hamzah

KUALA LUMPUR 13 Julai – Timbalan Presiden Bersatu,  Ahmad Faizal Azumu bersedia berundur daripada jawatan No.2 parti itu untuk memberi ruang kepada penyandang jawatan Setiausaha Agung,  Hamzah Zainudin.

Presiden Bersatu,  Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau diberi mandat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk berunding dengan barisan pimpinan parti agar tidak berlaku perpecahan akibat pemilihan, Oktober depan.

“Bermula dengan Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal yang bersedia untuk berundur dan menawarkan diri bagi jawatan Naib Presiden. Beliau bersedia untuk beri ruang kepada Hamzah sebagai Timbalan Presiden,” katanya.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menjelaskan demikian kepada pemberita selepas Konvensyen Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang, di sini hari ini.

Katanya, Mohamed Azmin Ali pula ditawarkan jawatan Setiausaha Agung kerana beliau mempunyai ketokohan, banyak pengalaman dan menggalas tanggungjawab dengan baik.

Beliau juga yakin dua penyandang jawatan Naib Presiden, Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Dr Ronald Kiandee akan mempertahankan jawatan masing-masing.

“Rundingan telah dilakukan dengan beberapa pemimpin Bersatu bagi memastikan tiada pertembungan dalam pemilihan parti pada Oktober ini. Saya diberi mandat oleh MPT untuk berunding agar tidak berlaku perpecahan akibat pemilihan.

“Saya mula melakukan pertemuan dengan kepemimpinan tertinggi dalam beberapa minggu yang lalu bagi mendapatkan maklum balas dan mengambil kira cita-cita masing-masing,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin membayangkan pemilihan Bersatu nanti dijangka tidak menyaksikan pertembungan membabitkan jawatan tinggi parti, selain menafikan wujud senarai pilihan atau ‘cai presiden’.

“Rundingan dibuat untuk memastikan semua jawatan dapat disusun lebih awal agar suhu pemilihan parti tidak terlalu panas. Semua pertimbangan itu dibuat dengan mengambil kira peranan dan sumbangan masing-masing dalam parti,” katanya.

Sementara itu, katanya, Bersatu sudah melantik peguam untuk meneliti perundangan sebelum memulakan proses mencabar keputusan Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul mengekalkan enam kerusi bekas Ahli Parlimen Bersatu.

Nnnn.

Related posts

Leave a Comment