Kakitangan bank disyaki dalang RM2 juta lesap

KUALA LUMPUR 12 Julai – Seorang pelanggan kehilangan wang dari akaun bank simpanannya bernilai lebih RM2 juta di Kuala Kangsar, Perak, di mana kakitangan institusi kewangan itu disyaki sebagai dalangnya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata polis menerima satu laporan pada 9 Julai lalu yang mendakwa terdapat pindahan wang dari akaun simpanan tetap milik pelanggan ke akaun pihak ketiga oleh kakitangan bank berkenaan.

Katanya, kes terbongkar apabila dua pemilik akaun simpanan tetap terbabit hadir ke bank berkenaan untuk membuat pengeluaran wang dari akaun mereka pada 27 Jun lalu dan mendapati sebahagian daripada sijil akaun simpanan tetap mereka telah ditutup.

Bagaimanapun pelanggan terbabit menafikan pernah membuat penutupan itu atau mengeluarkan wang dari akaun simpanan tetap milik mereka.

Susulan itu, Ramli pada pada sidang media JSJK, di sini, hari ini berkata, hasil siasatan dan semakan oleh pihak bank mendapati seorang kakitangan mereka disyaki membuat pengeluaran wang berkenaan tanpa pengetahuan sebelum mendepositkannya ke dalam beberapa akaun berbeza.

Kakitangan itu yang juga suspek utama kes berkenaan bagaimanapun telah meninggal dunia pada 5 Julai lalu dipercayai kerana membunuh diri tetapi pihak polis meneruskan siasatan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu beliau menzahirkan penghargaan atas kelulusan Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024 yang dibentangkan kali pertama di Dewan Rakyat pada 9 dan 11 Julai lalu.

Katanya, pindaan ini dilihat sebagai satu langkah yang positif dalam usaha memperkasakan siasatan dan penguatkuasaan terhadap kes-kes penipuan khususnya penipuan dalam talian.

Menurutnya melalui pindaan tersebut juga, individu yang menjadi dalang dalam kes penipuan dalam talian termasuklah pemilik keldai akaun bakal berdepan hukuman yang lebih berat melalui tindakan di bawah peruntukan baharu.

“Perkembangan ini amat dialu-alukan memandangkan buat masa ini tiada sebarang peruntukan khusus bagi menghukum pesalah melibatkan akaun keldai. Pindaan ini juga diyakini bakal memberikan landskap baharu dalam penguatkuasaan undang-undang jenayah komersil,” katanya.

Ramli menegaskan, institusi perbankan juga perlu melaksanakan siasatan terperinci terhadap transaksi yang tidak dibenarkan, sebagaimana yang disarankan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.

Pihak bank tidak seharusnya menyalahkan pelanggan atas kerugian yang dialami daripada penipuan perbankan dalam talian, melainkan terdapat bukti jelas bahawa pelanggan gagal melindungi butiran peribadi penting mereka.

Nnn

Related posts

Leave a Comment