KANGAR 12 Julai – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menjelaskan kehadirannya ke Perlis adalah untuk menziarahi Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, yang sebelum ini menjalani pembedahan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.
Beliau yang juga Pengerusi Bersatu menolak dakwaan lawatannya ada kaitan dengan soal kepemimpinan negeri yang sedia ada.
“Kedatangan saya ke Perlis bukan hendak ‘endorse’ (menyokong) sesiapa atau apa pun dan tidak ada kaitannya kedatangan saya dengan soal kepimpinan negeri yang ada. Biasalah, segala desas desus itu hanyalah spekulasi semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Semarak Kasih Bersama Masyarakat di Kampung Warna Warni, Seberang Ramai, Kuala Perlis, di petang semalam.
Muhyiddin berkata, beliau juga meluangkan masa hadir ke Perlis bersama isterinya adalah disebabkan sudah lama tidak melawat Perlis, selepas kali terakhir berbuat demikian ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
“Jadi tidak ada perubahan apa apa pun yang berlaku dengan kepimpinan negeri ini kerana saya tahu (Perlis) sudah pun ada kerajaan negeri sendiri, sudah ada Menteri Besar, sudah ada Exco.
“Ketika bertemu Menteri Besar, saya pun sudah dengar tadi perkara yang sudah dirancangkan untuk masa hadapan dengan pimpinan parti PN. Jadi kehadiran saya ini tidak ada niat apa-apa pun,” katanya.
Muhyiddin memulakan lawatan sehari ke Perlis dengan mengadap Tuanku Syed Sirajuddin yang sedang menjalani rawatan pemulihan di HTF.
Beliau kemudian merasmikan Mesyuarat PN Perlis yang julung kali diadakan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum mengadakan pertemuan dua hala bersama Menteri Besar Perlis merangkap Pengerusi PN negeri.
Muhyiddin mengakhiri lawatannya dengan menghadiri Program Semarak Kasih Bersama Masyarakat di Kampung Warna Warni, Seberang Ramai di Kuala Perlis yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi PN Perlis merangkap Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Perlis serta barisan ADUN PN dari Bersatu Perlis yang lain.
Nnnnn
